Bos (TMJ) dah labur banyak untuk buat padang, harap kita lebih tahu bagaimana cara menjaganya – Esteban Solari

617

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak mahu menjadikan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai isu yang besar menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC esok.

Beliau mengakui bahawa padang tersebut tidak berada dalam keadaan yang baik tetapi menganggap bahawa rumput yang digunakan adalah lebih baik daripada sebelumnya.


“Kita harus melihat dari sudut yang positif, tahun lalu gunakan ‘cow grass’ tetapi tahun ini kita ada rumput yang menakjubkan cuma ia bukan dalam kondisi yang terbaik.

Bos (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) sudah melabur banyak untuk buat padang seperti ini bagi meningkatkan tahap bola sepak Malaysia, saya rasa ini paling penting, harus ada niat untuk menjadikan tahap bola sepak Malaysia lebih kompetitif.

Kita harus ada individu yang melabur, yang percaya serta harus juga ada kerjasama daripada semua pihak, saya harap kita akan lebih tahu bagaimana caranya untuk menjaga padang pada masa hadapan,”

katanya.

Mengenai persiapan pasukannya untuk perlawanan esok, Solari berkata semuanya berada dalam keadaan baik walaupun pisat latihan JDT di Johor Bahru dinaiki air.

Katanya, banjir yang berlaku telah surut dan mereka menjalani latihan seperti biasa selepas itu.

Sementara itu, beliau menafikan bahawa esok akan menjadi satu perlawanan yang mudah buat pasukannya.

“Mungkin bagi anda dan mereka yang melihat dari luar ia agak mudah bagi kami tetapi ia sebenarnya tidak dan pemain berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

Saya mempunyai pemain yang ada mentaliti juara dan karakter yang hebat, kami sentiasa bermain bola sepak dengan cara kami tidak kisahlah menentang pasukan kuat dari Jepun atau Korea Selatan, kami bermain dengan gaya yang sama.”

Beliau teruja untuk merasai pengalaman pertama mengendalikan perlawanan di SNBJ dan berharap mampu mengukir senyuman buat semua penyokong JDT.