Saya tak gembira dengan keadaan padang, mungkin kita terpaksa elak kawasan yang rosak – Jordi Amat
Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mengakui beliau tidak gembira dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC esok.
Katanya, mereka mungkin terpaksa mengelak daripada bermain di kawasan yang rumputnya rosak sekiranya keadaan padang sangat teruk.
“Saya harap padang akan lebih baik esok kerana sejujurnya saya tidak gembira melihat keadaannya.
Saya dapat lihat di kawasan tengah padang ada rumput yang tidak ‘melekat’ dengan tanah, kita akan lihat esok ketika sesi pemanas badan jika kita boleh beraksi di kawasan itu atau tidak. Jika tidak mungkin kita akan cuba elak daripada bermain di kawasan tersebut,”
katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuk beraksi dengan baik pada perlawanan itu.
Mengenai perlawanan tersebut, beliau tidak melihat JDT sebagai pasukan pilihan dan menganggap kedua-dua pasukan memiliki peluang yang sama untuk menjadi juara.
“Dalam perlawanan akhir seperti ini tiada pasukan pilihan, kedua-dua pasukan sememangnya layak beraksi di final.
Saya suka lihat gaya permainan Terengganu, kami pernah menentang mereka di Gong Badak dan mereka beraksi dengan sangat baik, jadi saya harap esok kami dapat beraksi dengan lebih baik daripada mereka.”
Beliau menegaskan bahawa dua perkara yang menjadi kunci kejayaan kepada JDT adalah gaya permainan serta mentaliti kemenangan, dan berharap semua pemain dapat menunjukkan kedua-duanya pada perlawanan esok.