Empat acara berlangsung serentak, rezeki tak putus buat ramai pihak di KL Sports City Centre esok!
Buat julung kalinya rakyat Malaysia akan dapat melihat kemeriahan yang luar biasa di KL Sports City Centre esok – 8 Disember.
Sebanyak empat program akan dilangsungkan pada waktu berdekatan iaitu final Piala Malaysia diantara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di tapak parkir A dan B Stadium Nasional Bukit Jalil, Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Bukit Jalil dan juga raptai Akhir Gegar Vaganza di Stadium Axiata Arena.
Bayangkan sahaja betapa ramai rakyat Malaysia akan datang membanjiri kawasan ini demi menyokong, melawat dan termasuklah yang menjalankan tugas pekerjaan mereka.
Dijangkakan hampir 200,000 orang akan memenuhi KL Sports City Centre esok.
Bukan sahaja jalan menjadi teramat sesak dan tempat parkir kereta terhad esok, orang ramai juga pasti dilihat berlegar-legar di sekitar radar itu demi mendapatkan parkir atau juga menaiki bas ke situ.
Ianya juga barangkali disebabkan akan ada program yang diadakan di tempat parkir stadium bermula esok sehingga Ahad.
Namun begitu, rezeki tidak salah alamat buat ramai pihak yang secara tidak langsung terlibat dalam situasi ini.
Dengan pelbagai jenis perkara yang akan terjadi sepanjang petang esok ini, ternyata ianya akan menjadi lubuk rezeki yang hebat buat para peniaga di sana dalam menjana wang tambahan dengan adanya pembeli potensi dalam jumlah yang besar.
Bermacam jualan di perkarangan stadium dan juga tepi jalan akan kita lihat seperti jualan jersi, barangan merchandise kelab yang di sokong, aktiviti-aktiviti menarik buat semua pelawat yang hadir serta penjaja makanan dan minuman.
Tidak dilupakan juga, kemudahan pemandu ‘Grab car’ yang sudah tentu akan dapat mengaut keuntungan yang lumayan hanya untuk mengambil dan menghantar mereka yang hadir di lokasi berdekatan sahaja.
Mungkin kali terakhir situasi sebegini berlaku adalah ketika Sukan SEA 2017 sewaktu Kuala Lumpur menjadi tuan rumah sukan itu yang memperlihatkan bermacam-macam acara sukan yang berlangsung secara serentak.
Semoga segala urusan esok dipermudahkan dan apa-apa perselisihan faham dapat dielakkan demi kesejahteraan negara kita yang tercinta.