Hadiah wang tunai lumayan jadi motivasi, cabaran untuk bawa balik kejuaraan dan ‘ang pau’ – Aaron Chia & Soh Wooi Yik
Beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menganggap jumlah habuan wang tunai yang kini semakin tinggi merupakan satu perkara yang positif dalam sukan badminton.
Mengenai hadiah wang tunai dalam kejohanan BWF World Tour Finals tahun ini yang dinaikkan, secara peribadi, beliau melihat itu sebagai motivasi buatnya untuk meraih sebanyak mungkin kejuaraan dan menganggap hadiah wang tunai itu sebagai ‘ang pau’.
“Ia adalah salah satu motivasi kerana jumlahnya agak banyak, lebih-lebih lagi main di China memang tinggi hadiah wang tunai.
Jadi kita anggap itu sebagai satu cabaran untuk meraih gelaran dan dalam masa yang sama bawa balik ‘ang pau’,”
katanya.
Pasangannya, Soh Wooi Yik pula berkata, secara amnya, hadiah wang tunai yang lebih banyak dalam sukan badminton mampu membuatkan sukan itu lebih dikenali dan mampu mengecap popularity sebaris dengan sukan-sukan yang lebih popular seperti tenis dan bola sepak.
Beliau mengakui bahawa badminton tidak begitu popular berbanding sukan-sukan seperti itu justeru hadiah wang tunai yang tinggi boleh mempromosikan sukan itu ke tahap yang lebih tinggi.
Sementara itu, mengenai persiapan mereka ke kejohanan BWF World Tour 2023 yang akan bermula pada 13 Disember ini, Aaron berkata bahawa semuanyan berada dalam keadaan yang baik, dan mereka harus memastikan mental mereka lebih kuat.
“Saya rasa semuanya sudah berada dalam keadaan yang baik, sekarang ini fokus bukan lagi dari sudut fizikal tetapi mental, sekiranya mental kita boleh lepas cabaran, ia bukan masalah lagi.
Untuk tekanan pula saya rasa biasa saja, tiada tekanan buat kami, hanya perlu bermain mengikut apa yang sudah dirancang, saya rasa lawan yang paling sukar adalah diri kami sendiri.”