Catat kejuaraan ‘double quadruple’, JDT pahat sejarah sebagai pasukan terulung dalam sejarah negara

279

Dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencatatkan musim yang sempurna dalam saingan domestik apabila menyapu bersih kesemua empat piala yang ditawarkan.

Bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada awal musim, JDT kemudian berjaya mengekalkan kejuaraan Piala FA pada Julai lalu, dan mengesahkan kejuaraan Liga Super pada September lalu.


Kejuaraan Piala Malaysia 2023 ini juga menyaksikan JDT unggul meraih gelaran ‘quadruple’ buat dua musim berturut-turut atau ‘double quadruple’.

Ia sekaligus memecahkan rekod ‘double treble’ yang dilakar oleh Kedah Darul Aman pada tahun 2008.

Apa yang dilakukan oleh JDT ini adalah satu pencapaian yang luar biasa dan mungkin tidak akan dapat dipecahkan oleh mana-mana pasukan dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

Bukan saja rekod ‘double treble’, banyak lagi rekod yang JDT telah ukir pada musim ini contohnya kemenangan terbanyak dalam semusim, jaringan terbanyak dalam semusim dan lain-lain.

Namun, penguasaan JDT dijangka tidak akan berhenti pada musim ini, dan pelbagai rekod baharu dijangka akan terus dicatat pada masa hadapan.