Saya mahu ambil sepakan penalti itu kerana sayangkan Arif Aiman – Bergson
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva mendedahkan bahawa pertelingkahannya dengan Arif Aiman untuk mengambil sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan Piala Malaysia menentang Terengganu sebentar tadi kerana sayangkan rakan sepasukannya itu.
Katanya, situasi genting seperti itu adalah sukar buat pemain muda seperti Arif dan beliau tidak mahu Arif menerima kritikan sekiranya gagal menyudahkan penalti tersebut.
“Saya sayang Arif, dia masih muda dan jika dia terlepas penalti itu dan lawan jaringkan gol, semua orang akan ‘bunuh’ dia.
Saya cuba ambil tanggungjawab itu kerana saya memang berlatih penalti dan saya berusia 32 tahun, ia perbezaan yang amat besar, saya fikirkan tentang pasukan dan Arif tetapi alhamdulillah dia berjaya jaringkan gol,”
Beliau berkata demikian selepas berjaya membantu JDT menewaskan Terengganu 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Bergson bangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan yang mencatat sejarah baharu ‘double quadruple’ dalam bola sepak Malaysia.
Tambahnya, perlawanan tersebut sememangnya sukar ditambah dengan keadaan padang yang teruk.
“Semua tahu betapa sukarnya perlawanan tadi dari minit pertama lagi, keadaan padang memang teruk tetapi kami jadikan ia motivasi dan kita berjaya lakukan dengan baik.
Kami mahu cipta sejarah dan buat penyokong bangga dengan kami dan kita berjaya lakukannya pada malam ini.”
Katanya, perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan adalah sikap untuk memenangi perlawanan itu di mana pasukannya menyerang habis-habisan manakala Terengganu hanya bertahan dan menanti kesilapan pihak lawan.