Lee Zii Jia dapat restu Presiden BAM untuk jadi pemain profesional
Pemain perseorangan negara Lee Zii Jia telah mengesahkan bahawa beliau akan bergerak sendiri sebagai pemain profesional.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Zii Jia menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya sebentar tadi.
“Saya lega dapat berbincang dari hati ke hati dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Norza Zakaria bersama kedua ibu bapa saya.
Saya gembira yang kami sekarang sudah dapat menyelesaikan isu dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri untuk jadi pemain profesional. Kejayaan lalu dan akan datang akan sentiasa menjadi produk Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia,”
tulisnya.
Juara Seluruh England turut meluahkan rasa bersyukurnya terhadap Norza yang telah membimbing, melatih dan memberinya peluang untuk berkhidmat untuk negara tercinta.
Pada masa sama, Zii Jia berkata beliau akan memberi tumpuan untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Beliau juga berharap dengan konklusi ini dapat menyatukan semua dan memohon agar peminat terus menyokong BAM dan juga pemain profesional negara yang turut merupakan produk BAM.
Terdahulu, kemelut antara Zii Jia dan BAM menjadi bualan semakin panas selepas badan induk badminton negara mengambil keputusan untuk tidak mendaftarkan pemain itu selama dua tahun dalam kejohanan antarabangsa selepas beliau meletak jawatan dari BAM.