Saiful Hasmi tak ambil pusing dengan komen ‘dakwah bola sepak’ netizen

215

Bapa kepada pemain bola sepak cilik, Nursyaqira Medina iaitu Saiful Hasmi Baharudin enggan ambil pusing dengan komen ‘dakwah bola sepak’ segelintir netizen yang mempersoalkan aurat anaknya.

Saiful berkata demikin apabila diminta mengulas mengenai komen netizen yang menyarankan wanita Islam elak dari menyertai sukan bola sepak atau sukan-sukan lain yang boleh membuatkan aurat mereka terdedah.


“Saya percaya apabila umur Medina semakin meningkat dia akan berubah. Saya juga akan didiknya ke arah itu. Rasanya tiada masalah untuk Medina bermain bola sepak jika dia memakai tudung pun kerana pemain wanita beragama Islam luar negara turut mengenakan tudung ketika beraksi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Saiful memberitahu beliau akan memberi sokongan seratus peratus buat anaknya untuk mengejar impian menjadi pemain bola sepak profesional.

“Sebagai bapa dan juga jurulatih saya dan isteri sememangnya akan menyokong seratus peratus impian Medina untuk menjadi pemain profesional satu hari nanti.

“Bagaimanapun dia perlu buktikan dirinya adalah seorang pemain yang berkualiti sekiranya mahu melangkah dengan lebih jauh dalam dunia bola sepak ini.”

Menurut Saiful, anak tunggalnya itu mula menunjukkan minat terhadap dunia bola sepak selepas mengikutinya ke perlawanan bola sepak sejak berusia empat tahun.

Medina kini bermain untuk kelab FC Setia Alam yang mana dia merupakan satu-satunya pemain perempuan dalam pasukan itu.

Dia yang bermain di posisi pertahanan juga tidak gentar dengan pemain-pemain lelaki, malah mampu menggelecek dengan yakin.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan bola sepak wanita di negara, Saiful berharap pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beri tumpuan pembangunan bola sepak wanita yang dilihat kini semakin berkembang.

“Kita tengok di Selangor ketika ini sudah ada Liga Super Wanita FAS yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), jadi saya harap FAM buat perkara sama iaitu wujudkan liga untuk pasukan wanita di bawah kelolaan FAM dan Malaysian Football League (MFL).

Saya akui kita mempunyai ramai pemain wanita berkualiti namun mereka ini tidak mempunyai peluang untuk mengembangkan lagi bakat mereka dan jika FAM menganjurkan liga bola sepak wanita ia pasti akan mengguntungkan negara juga.”

Selain berlatih bersama pasukan Setia Alam, Medina juga pernah berguru dengan penjaga gol kebangsaan Azurin Mazlan yang kini bermain di kelab Misaka United FC di India.