Terengganu terus jadi kilang ubi muda di bawah Tomislav Steinbruckner
Terengganu FC mengumumkan bahawa kelab itu telah mengikat tiga pemain muda berbakat iaitu Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Syahmi Zamri sehingga 2026.
Ia selepas prestasi menakjubkan yang ditampilkan oleh pemain-pemain tersebut bersama kelab itu sepanjang musim ini, termasuklah membantu Terengganu II menjuarai Piala MFL.
Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner berkata bahawa ketiga-tiga pemain itu adalah prospek penting dalam pelan beliau bersama pasukan.
Sejak kebelakangan ini, beliau lebih gemar menggunakan barisan pemain pertahanan yang terdiri daripada pemain tempatan walaupun turut mempunyai pertahanan import.
Barisan pertahanan tempatan Terengganu yang selalunya terdiri daripada Ubaidullah, Shahrul Nizam, Safwan Mazlan dan Azam Azmi berjaya memukau peminat bola sepak tempatan dengan persembahan yang menakjubkan.
Dengan lanjutan kontrak Ubaidullah dan Safwan, jelas Steinbruckner mempunyai pelan jangka masa panjang buat kedua-dua pemain itu bersama Terengganu dan akan menjadi tonggak di barisan pertahanan kelab itu
Untuk Syahmi pula, beliau mula mendapat kepercayaan Steinbruckner pada pertengahan musim ini dan semakin kerap diturunkan menuju ke penghujung musim.
Setahun memegang jawatan ketua jurulatih pasukan, Steinbruckner telah menunjukkan bahawa beliau seorang jurulatih yang mempercayai dan memberi peluang kepada bakat-bakat muda.
Sekiranya beliau terus diberi kepercayaan sebagai ketua jurulatih, musim depan mungkin kita akan melihat lebih ramai bakat-bakat muda daripada Terengganu menyinar.