Yakob Sayuri berjaya rantai Saddil Ramdani kerana sudah dapat baca permainannya

147

Pemain tengah PSM Makassar, Yakob Sayuri menjadi nadi utama dalam kejayaan pasukannya menewaskan Sabah FC 3-1 pada perlawanan terakhir kumpulan Piala AFC yang berlangsung di Stadium Likas malam tadi.

Ia susulan Yakob berjaya merantai pergerakan pemain berbisa Sabah iaitu Saddil Ramdani dari melakukan serangan berbahaya kerana sudah dapat membaca permainan pemain itu dek mereka adalah rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan Indonesia.


“Pada perlawanan pertama di Bali saya tidak bermain kerana cedera oleh sebab itu Saddil mampu bermain dengan baik tapi pada perlawanan kali ini saya turun jadi saya lebih tahu permainan beliau, jadi saya manfaatkan kelebihan itu.

Ini kerana kami merupakan rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan yang mana kami bermain di posisi yang sama jadi kami sudah tahu permainan masing-masing,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan malam tadi Yakob berkata walaupun mereka sudah pun tersingkir dari kempen Piala AFC namun ia bukan alasan untuk mereka tidak memberikan aksi terbaik mereka.

“Kami di PSM Makassar tidak mahu mudah mengalah walaupun sudah tersingkir tapi ini adalah misi kami dan ketua jurulatih minta kami berikan aksi terbaik kami dan tunjukkan semangat juang tinggi dalam perlawanan tadi.”

Tambahnya lagi, beliau dan rakan sepasukannya juga tetap bermotivasi tinggi  sebelum perlawanan biarpun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk datang ke Sabah.

“Tidak mudah untuk kami sampai ke sini kerana terpaksa transit di Kuala Lumpur. Memang di luar padang kami penat tapi apabila masuk ke padang kami perlu fight kerana ini adalah pekerjaan dan tugas kami adalah bekerja keras untuk pasukan.”