Jika mahu bertanding dalam Liga Super, mula dari bawah bukan guna ‘cable’ FAM & MFL
Selepas semusim tidak mempunyai wakil yang beraksi dalam saingan Liga Super, Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) membuat perancangan untuk membawa pasukan Melaka beraksi pada musim depan.
Menurut laporan Harian Metro, Presiden MAFA, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah memfailkan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk merealisasikan perkara itu.
Untuk musim 2023, pasukan Melaka United disingkirkan dari saingan Liga Super selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan akibat isu yang berlaku melibatkan pasukan itu.
Akibat kemelut yang melanda pasukan itu, pihak yang sepatutnya akhirnya tidak mengambil tanggungjawab dan pasukan baharu iaitu Melaka FC ditubuhkan untuk bermain di saingan Liga MBSB Bank, dan menamatkan saingan di tangga ke-10.
Menurut Ab Rauf, salah satu pilihan adalah untuk bergabung dengan Melaka FC untuk menbentuk sebuah pasukan bersaing dalam saingan Liga Super.
Tetapi, sekiranya perkara itu benar berlaku, ia seperti tidak adil kepada pasukan-pasukan lain yang terpaksa bersaing dari liga yang lebih bawah dan mendaki dari musim ke musim untuk cuba beraksi di Liga Super.
Sedangkan banyak pasukan daripada saingan Liga MBSB Bank musim ini tidak berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2024.
Ini akan menjadikan pasukan yang mempunyai sokongan saripada persatuan bola sepak negeri atau kerajaan negeri memiliki kelebihan berbanding pasukan-pasukan lain.
Lagipun, pada tahun lalu, presiden MAFA ketika itu iaitu Datuk Nur Azmi Ahmad berkata bahawa Melaka FC adalah pasukan yang akan mewakili negeri itu dalam usaha untuk kembali ke Liga Super 2024.
Justeru, mengapa perlu ada pasukan baharu atau penggabungan dengan pasukan Melaka FC untuk bersaing di Liga Super?
Mana-mana pasukan perlu bermula daripada divisyen bawah dan memperoleh Lesen Kebangsaan sebelum dibenarkan untuk beraksi di divisyen tertinggi.