Siapa yang mahu berjaya di JDT, contohi Arif Aiman
Juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ini telah mengumumkan bahawa pemain bintangnya, Arif Aiman telah melanjutkan kontraknya bersama pasukan itu.
Menurut laporan Flash Sukan, beliau menandatangani kontrak lanjutan lima tahun, yang menyaksikan beliau akan terus diikat sehingga 2028.
Ia ibarat ‘hadiah’ yang cukup bernilai buat pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia dua musim berturut-turut itu, selepas membantu pasukannya mencatat sejarah memenangi kejuaraan ‘double quadruple’ musim ini.
Lanjutan kontrak selama lima tahun ini menunjukkan bahawa beliau pemain yang sangat bernilai untuk JDT, dan bakal menjadi tonggak untuk pasukan itu untuk beberapa tahun akan datang.
Jarang sekali pemain di Liga Malaysia menerima tawaran kontrak sepanjang itu, dan dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Arif, tindakan JDT itu amatlah wajar dan difahami.
Di saat ini, beliau dalam laluan yang tepat untuk menjadi legenda di JDT sekiranya terus kekal dengan kelab itu untuk beberapa tahun lagi, dan terus mengekalkan prestasinya.
Apa yang dicapai oleh Arif ini bukanlah mudah, kerana ia memerlukan disiplin yang tinggi, seperti yang pernah diceritakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Baginda pernah berkata bahawa Arif merupakan seorang pemain yang berdisiplin dan bercita-cita tinggi, jadi tidak hairanlah beliau sentiasa menunjukkan peningkatan.
Arif juga berjaya mengetepikan saingan sengit di JDT walaupun usianya jauh lebih muda berbanding pemain import dan senior lain di posisinya.
Justeru, mana-mana pemain yang mahu menempa kejayaan di JDT haruslah menjadikan Arif sebagai contoh dari segi komitmen, disiplin dan usaha yang ditunjukkan.