Amaran kepada Harimau Malaya: Jangan ambil ringan ‘ancaman’ Covid-19!
Tiga tahun sudahpun berlalu, namun mimpi ngeri itu kini seakan kembali sekali lagi.
Peningkatan kes Covid-19 di negara kita dilihat semakin menuju ke tahap yang mengerikan apabila ianya telahpun mencapai jumlah kes sebanyak 20,696 hanya dalam enam hari (10 sehingga 16 Disember).
Ianya merisaukan ramai pihak termasuklah skuad senior Harimau Malaya yang bakal beraksi di kejohanan AFC Piala Asia yang akan berlangsung di bumi Qatar pada Januari kelak.
Malaysia yang diundi dalam kumpulan E dijadualkan bertemu Jordan pada 16 Januari, pasukan Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan pada 25 Januari.
Meskipun begitu, bagaimanakah kita dapat memastikan semua urusan skuad kita akan berjalan dengan rapi dan teratur tanpa mendengar sebarang permasalahan yang melibatkan kesihatan para pemain?
Andai kata perkara sebegitu berlaku, pastinya ia akan memberi kesukaran kepada pelbagai agensi sekaligus mengganggu perjalanan perlawanan secara menyeluruh.
Barangkali perlawanan yang melibatkan negara kita mungkin akan ditangguhkan, atau yang paling ditakuti jika skuad negara kita terpaksa dikeluarkan dari senarai kejohanan serta merta.
Ternyata kesihatan para pemain kita haruslah berada di paras optimum, demi menjanjikan persembahan bertaraf Asia buat negara.
Bagi mengelakkan dari sebarang kemungkinan yang tidak diingini, langkah berjaga-jaga harus diambil terlebih dahulu.
Pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disarankan untuk menggalakkan bintang-bintang bola sepak kita bagi mengambil suntikan dos penggalak ketiga, seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Melihatkan jadual padat setiap pemain saban hari yang memerlukan mereka untuk travel ke sana sini, sedikit sebanyak ia mampu menyumbang kepada penambahan kes wabak itu.
Kejohanan itu ternyata amat penting buat Ekor Harimau Malaya yang pastinya tidak sabar menantikan kemunculan serta aksi pemain kebangsaan di Piala Asia dibawah kendalian jurulatih Kim Pan-gon.
Meskipun pemain simpanan akan turut serta ke sana dan mampu menggantikan pemain yang kurang sihat, namun apakah motif kita menyenaraikan kesebelasan utama yang hebat belaka?