Kesal tidak lakukan cukup baik dalam beregu campuran, untuk 2024 fokus penuh kepada beregu wanita – Teoh Mei Xing

79

Pemain badminton beregu negara, Teoh Mei Xing mengakui beliau merasa lebih yakin dan fokus apabila beraksi dalam acara beregu wanita berbanding beregu campuran.

Beliau akui bahawa dirinya tidak mengharungi cabaran dalam beregu campuran dengan begitu baik, dan untuk tahun 2024 beliau akan terus fokus dalam acara beregu wanita.


“Saya rasa kesal tak lakukan dengan baik dalam beregu campuran tetapi sekarang saya tak fikir dah tentang itu, saya hanya fokus kepada beregu wanita untuk 2024 nanti, ia adalah Keputusan jurulatih dan saya juga rasa lebih yakin dan fokus dalam beregu wanita.

Dalam beregu campuran ada cabaran tertentu dan dalam tempoh setahun ini saya rasa saya tidak harungi cabaran itu dengan baik jadi tiada sebab untuk saya katakan saya bagus dalam acara beregu campuran,”

katanya.

Tahun ini, Mei Xing bergandingan dengan Anna Cheong untuk acara beregu wanita dan Hoo Pang Ron untuk acara beregu campuran.

Untuk kejohanan Malaysia Open akan datang, Mei Xing dan Anna yang diundi bertemu pasangan nombor lapan dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee So Hee berharap dapat memberi cabaran walaupun sedar ia perkara yang sukar.

“Ia memang undian yang sukar, kami tidak fikir banyak hanya berikan apa yang mampu dan berharap dapat cipta kejutan, tetapi apa yang paling penting adalah persediaan daripada pihak kami sendiri.

Kami perlu bersedia untuk main rally yang panjang dan cuba kurangkan kesilapan, kami mahu belajar sesuatu daripada perlawanan itu.”

Tambah Mei Xing, untuk tahun 2024 nanti, beliau berharap dapat menembusi ranking 20 terbaik dunia.

Beliau juga mahu gandingannya bersama Anna menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.