Permulaan yang baik, Juan Torres puas hati tapi akui masih ada ruang diperbaiki skuad B-23
Kemenangan 1-0 skuad Harimau Malaya B-23 menentang pasukan China hari ini dilihat sebagai permulaan yang baik menurut ketua jurulatih, Juan Torres Garrido.
Secara keseluruhannya, beliau berasa amat berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan akui banyak ruang masih boleh diperbaiki.
“Saya amat gembira dan kami akan terus mencari aspek yang boleh kami improve. Buat masa ini kami masih lagi tengah berusaha.”
“Persembahan yang ditampilkan amat memuaskan.”
Katanya.
Skuad muda yang beraksi di Stadium Jinshan, Shanghai ternyata mampu menghalang asakan pemain China dari menebusi gawang gol Malaysia sepanjang perlawanan.
Beliau juga tidak menafikan kekuatan yang dipamerkan pasukan China serta menginginkan skuad bimbingannya untuk kekal bersedia bagi menghadapi lawan yang lebih sukar akan datang.
“Menemui suatu pasukan buat kali kedua pastinya akan lebih sengit melihatkan ianya akan dipenuhi emosi yang dibawa dari perlawanan pertama sebelum itu.”
“Kami ingin terus fokus dalam kesemua aspek terutamanya juga pada attacking side pasukan ini.”
Jaringan gol tunggal itu telah dihasilkan oleh pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar pada minit terakhir perlawanan.