Masih ada beberapa sesi latihan dan ‘friendly’ sebelum pilih skuad terbaik ke Piala Asia – Juan Torres Garrido
Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres Garrido masih belum memutuskan skuad yang terbaik untuk ke kejohanan Piala Asia B-23 pada April tahun depan.
Katanya, masih ada lagi beberapa sesi latihan dan perlawanan persahabatan untuk beliau menilai pemain yang layak dibawa ke kejohanan itu.
“Saya agak berpuas hati dengan sikap dan prestasi para pemain kali ini tetapi kita harus pilih yang terbaik untuk ke Piala Asia nanti.
Kita perlu tunggu lagi panggilan sehinggalah bulan Mac nanti, ketika itu kita lihat siapa yang ada dan kita boleh kumpulkan skuad terbaik,”
katanya.
Katanya, untuk kem latihan kali ini, terdapat beberapa pemain yang tidak dapat sertai kerana kecederaan dan juga tidak dilepaskan kelab di luar negara.
Tambahnya, dua perlawanan menentang China kali ini adalah satu pelajaran yang baik buat anak-anak buahnya menjelang kejohanan tersebut.
“Ia adalah dua perlawanan dengan lawan yang baik, di mana kita terpaksa berhadapan dengan situasi berlainan dalam kedua-dua perlawanan.
Secara keseluruhan, pemain telah menunjukkan saingan yang baik dan ini adalah satu pelajaran apabila berdepan pasukan-pasukan kuat pada Piala Asia nanti.”
Malaysia beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang skuad China B-23 di Shanghai, China dengan keputusan perlawanan pertama memihak kepada negara 1-0, manakala terpaksa akur tewas 2-1 pada perlawanan kedua sebentar tadi.