Jika mood pasukan tinggi, harapan kita cerah untuk ke pusingan 16 terakhir – Hamidin Mohd Amin
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meluahkan keyakinan Malaysia mampu layak ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023 sekiranya pasukan berada dalam keadaan terbaik.
Katanya, dua perlawanan awal menentang Jordan dan Bahrain adalah penting untuk skuad bimbingan Kim Pan-gon mengutip mata sebanyak mungkin untuk mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati.
“Sudah tentu harapan kita untuk ke pusingan 16 terakhir tetapi kita harus berpijak di bumi yang nyata kerana semua 24 pasukan yang bertanding ini adalah yang terbaik.
Jika kita layak ke pusingan 16 terakhir ia adalah satu pencapaian yang baik, FAM dan Pan-gon sudah berusaha ke arah itu, saya cakap kepada jurulatih dan pemain bahawa keadaan pasukan adalah penting pada tiga perlawanan itu nanti, apabila semua turun dalam mood yang tinggi harapan kita cerah untuk ke pusingan 16 terakhir,”
katanya.
Hamidin beranggapan bahawa barisan pemain yang dipilih Pan-gon untuk kem latihan ketika ini adalah yang terbaik, kecuali kehilangan beberapa pemain yang tidak dapat dipilih gara-gara kecederaan.
Sementara itu, beliau mengakui bahawa pihaknya sedang cuba menyusun perlawanan persahabatan dengan kelab di Qatar untuk perlawanan persahabatan selain daripada perlawanan menentang Syria yang telah dimuktamadkan pada 8 Januari depan.
“Kita sudah pasti akan menentang Syria pada 8 Januari ini, saya sudah berbincang dengan Pan-gon untuk cuba susun satu lagi perlawanan menentang kelab apabila tiba di sana.
Beliau beritahu cukup tetapi jika dapat satu lagi perlawanan pun cukup baik.”