Saya dan Corbin Ong bebas dari kecederaan, sedia untuk aksi pertama Piala Asia – Syihan Hazmi
Penjaga gol pasukan kebangsaan, Syihan Hazmi mengesahkan bahawa beliau dan rakan sepasukan Corbin Ong bebas dari sebarang kecederaan dan sudah bersedia untuk aksi pertama kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.
Syihan berkata demikian bagi menjawab persoalan ramai peminat yang tertanya-tanya mengenai kondisi mereka selepas terdapat khabar angin yang mengatakan kedua-dua mereka cedera.
“Alhamdulillah macam saya cakap persiapan fizikal kita kena bersedia dan kita kena cepat buat ‘recovery’ dan persiap mental untuk kejohanan ini.
Jadi setakat ini semua bebas dari kecederaan dan sudah bersedia
katanya.
Skuad Harimau Malaya akan membuka kempen Piala Asia menentang Jordan pada 15 Januari ini dengan misi mengutip tiga mata pertama negara.
Syihan turut memberitahu bahawa pasukan tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan fokus mereka kini adalah untuk perlawanan pertama nanti.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu skuad kini berada pada tahap terbaik terutamanya selepas mereka berjaya mencatatkan keputusan baik dalam perlawanan persahabatan menentang Syria baru-baru ini.
“Dalam perlawanan persahabatan itu saya nampak cukup positif sebab kita bukan fokus untuk perlawanan itu, sebaliknya perlawanan itu adalah untuk kita persiapkan mental dan fizikal.
Yang paling penting adalah perlawanan pertama kita nanti. Kami tidak mahu terlalu fikirkan jauh sebaliknya akan melihat perlawanan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.”
Sementara itu, Syihan juga berkata perlawanan menentang Jordan nanti sangat penting untuk mereka menang untuk mencerahkan peluang mereka layak ke peringkat pusingan 16.
“Kita kena menang dengan Jordan sebab kita kena ambil peluang ini untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Kita tidak mahu duduk di satu tempat sahaja.”