Terima kasih Presiden FAM! Harapan saya mahu lihat Harimau Malaya ke final Piala Asia 2023!

137

Presiden Harimau Gurun Football Team (HGFT) yang berpengkalan di Doha, Qatar iaitu Azril Feeqri mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin atas kesanggupannya untuk menunaikan hasrat peminat di sana untuk mengadakan sesi ‘meet & greet’ bersama pemain Harimau Malaya.

Menurut Azril, walaupun Hamidin tidak dapat memberikan kata putus dek kesibukannya tetapi beliau tetap meluangkan masa sekejap termasuk mengadakan sesi ‘meet & greet’ yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Doha pada 10 Januari lalu.


“Bila saya bertemu dengan Datuk Hamidin, saya ada suarakan hasrat untuk adalah sesi ‘meet & greet’ dengan pemain dan Alhamdulillah semalam ia berjaya dilaksanakan walaupun untuk tempoh yang singkat.

Kita pun faham bahawa pemain dan ketua jurulatih Kim Pan-gon kini sedang sibuk mempersiapkan pasukan untuk kempen Piala Asia kali ini.

Saya juga tidak sangka impian untuk buat sesi ‘meet & greet’ dengan peminat di sini menjadi. Biarpun Datuk Hamidin tidak dapat janji ia dapat dilakukan tapi beliau berusaha juga dan sanggup turun sekali walaupun ada mesyuarat, jadi terima kasih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain Hamidin, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia yang telah merealisasikan impiannya dengan memberi sokongan termasuk memastikan sesi ‘meet & greet’ dapat dilakukan.

Dalam pada itu, Azril yang turut teruja menanti skuad negara kendalian Kim Pan-gon membuka tirai kempen Piala Asia pada 15 Januari ini yakin dengan kemampuan pasukan kesayangan mampu memperoleh keputusan positif.

Dengan skuad negara kini dibarisi oleh pemain-pemain berkualiti, beliau berharap skuad negara mampu mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir.

“Sejak dikendalikan oleh Pan-gon corak permainan skuad negara berubah sepenuhnya. Bukan hendak mengatakan pengendali terdahulu tidak bagus tetapi penambahbaikan yang dibawa oleh beliau cukup menakjubkan.

Kalau tanya harapan saya dengan pasukan ketika ini, saya harap kita pergi final. Itu sasaran peribadi saya berdasarkan pasukan sedia ada, dengan pemain yang kita ada dan kemampuan yang kita ada serta saya melihat sendiri ketika perlawanan Piala Dunia hari tu, pemain kita mesti boleh. Malaysia boleh kan!

Jadi apa salahnya kita sasar pasukan kita mampu mara ke final. Kita lihat pada Piala Dunia lalu bagaimana Morocco pasukan ‘underdog’ berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir, jadi mana tahu Malaysia juga boleh lakukannya.”