Harimau Malaya mampu lakukan kejutan layak ke Pusingan 16 – Windsor John

214

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan kebangsaan Malaysia dalam kempen Piala Asia 2023 yang membuka tirainya pada hari ini.

“Apa yang saya lihat perkembangan pasukan Malaysia, mereka mempunyai peluang yang amat baik untuk buat kejutan sekaligus layak ke peringkat seterusnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Windsor, berdasarkan perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia telah memperlihatkan peningkatan prestasi yang cukup baik sekaligus mereka mempunyai peluang pada Piala Asia kali ini.


Beliau pada masa sama turut memuji ketua jurulatih Kim Pan-gon yang disifatkannya sebagai seorang pengendali yang cukup berkaliber.

“Mereka mempunyai jurulatih yang cukup berpengalaman dan pemain-pemain punya motivasi untuk menaik taraf aksi mereka sendiri.

Pada masa sama mereka mempunyai satu penanda aras yang mereka telah berjaya dalam Piala Asia.”

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi pada 15 Januari ini dalam perlawanan peringkat Kumpulan E yang mana mereka akan bertemu dengan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.