Endrick sah cedera, Natxo Insa dalam proses untuk ‘comeback’ – Hamidin Mohd Amin
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pemain naturalisasi Endrick Dos Santos mengalami kecederaan ketika menjalani sesi latihan sebelum perlawanan persahabatan menentang Syria.
Selain Endrick, Hamidin juga berkongsi mengenai perkembangan terkini seorang lagi pemain naturalisasi iaitu Natxo Insa yang kini sedang dalam proses untuk kembali membuat kemunculan semula.
“Saya perlu nyatakan hari ini bahawa Endrick mengalami kecederaan sebelum perlawanan menentang Syria ketika latihan dan perkara ini kita tidak boleh jangka kerana dalam latihan mahupun ketika perlawanan, kecederaan boleh berlaku.
Kita hanya seorang sahaja yang cedera kerana Corbin Ong sudah kembali bersama pasukan, cuma Natxo dalam proses untuk kembali menjalani latihan bersama pasukan,”
katanya.
Menurutnya lagi, masalah kecederaan yang berlaku dalam pasukan adalah perkara yang normal dan ia tidak ada isu untuk beri alasan kecederaan.
Dalam pada itu, kecederaan yang berlaku dalam kem kebangsaan tidak seteruk seperti pasukan Vietnam yang terpaksa membawa skuad B-23 tahun gara-gara sembilan pemain utama mengalami kecederaan.
“Saya telah berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Vietnam baru-baru ini yang mana beliau lagi kecewa apabila sembilan pemain utama mengalami kecederaan sekaligus terpaksa memanggil keseluruhan skuad B-23 untuk beraksi.
Beliau bagaimanapun ia bagus untuk persiapan di Doha untuk Sukan Olimpik.”
Sementara itu, Hamidin yang juga merupakan Ahli Majlis FIFA turut mengakui menerima panggilan daripada banyak pihak yang menyuarakan keyakinan mereka terhadap kemampuan skuad negara untuk mara ke pusingan 16 pada saingan Piala Asia 2023 kali ini.
“Saya dihubungi oleh banyak pihak di Malaysia yang mana mereka macam yakin betul kitab oleh menang, jadi saya perlu nak ingatkan sekali lagi yang mana kita akan menentang lawan yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi.
Tetapi kita sudah buat persiapan dan kualiti pemain yang ada dengan barisan kejurulatihan mampu buat sesuatu. Saya katakan kepada pemain dan Kim Pan-gon kita perlu main seberapa baik yang mungkin.”
Skuad Harimau Malaya akan membuka kempen Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar pada 15 Januari ini menentang Jordan di Stadium Al Janoub.