Kami rakyat Malaysia di Doha sedia bantu peminat yang datang untuk Piala Asia 2023 – Zamshari Shaharan
Piala Asia 2023 sudah pun membuka tirainya semalam dengan tuan rumah Qatar berjaya memulakan langkah kanan apabila berjaya benam Lubnan 3-0 dalam perlawanan pembukaan.
Tidak hanya peminat tuan rumah sahaja, peminat pasukan kebangsaan Malaysia turut sama teruja menanti skuad Harimau Malaya turun beraksi pada 15 Januari ini menentang Jordan.
Ribuan peminat dijangka akan terbang ke Doha, Qatar demi memberikan sokongan padu buat pasukan kesayangan dan rakyat Malaysia yang menetap di sana sedia bantu peminat yang akan tiba tidak lama lagi.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Malaysia di Doha, Qatar iaitu Zamshari Shaharan di mana mereka sebelum ini pernah melakukan perkara sama ketika kejohanan Piala Dunia 2022.
“Semasa Piala Dunia 2022 kita buat persiapan juga kerana jarak tidak jauh dari Malaysia. Sini saya ingin gariskan kerjasama kita dengan komuniti Malaysia. Ada peminat yang datang tapi kita tidak tahu jumlah berapa ramai peminat yang datang tapi komuniti Malaysia buat satu ‘group chat’ yang mana ia mempunyai lebih 300 orang.
Menerusi ‘group chat’ itu, apa maklumat yang kami terima daripada kerajaan Qatar kami salurkan. Kerjasama dengan rakyat Malaysia di sini juga cukup bagus kerana majoriti mereka bekerja dalam pelbagai bidang profesional.
Kami di kedutaan berasa bertuah ada doktor, ada jurutera dan sukarelawan dalam ‘group chat’ itu. Ada seorang doktor merupakan ketua untuk Stadium Khalifa yang mana beliau turut berkongsi pengalaman dan persiapan dari segi kesihatan dan sebagainya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau pada masa sama turut memberitahu bahawa ‘group chat’ tersebut juga menjadi platform untuk peminat Malaysia sekiranya berdepan apa sahaja masalah yang mana mereka akan cuba bantu.
Dalam pada itu, Zamshari juga berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon yang sanggup merealisasikan program ‘meet & greet’ pemain bersama peminat baru-baru ini.
“Saya harus berterima kasih kepada pihak FAM kerana dalam kepadatan jadual mereka dan kebimbangan terhadap faktor kesihatan, Alhamdulillah mereka setuju dan ia berjaya direalisasikan.”
Sementara itu, beliau yang juga merupakan peminat pasukan bola sepak kebangsaan akan turun menyaksikan ketiga-tiga perlawanan menentang Jordan, Bahrain dan juga Korea Selatan.