Harap skuad B-23 akan ‘berkampung’ di hotel milik rakyat Malaysia pada Piala Asia B-23 2024 di Qatar
Saingan Piala Asia 2023 kini sedang hangat berlangsung dengan peminat Malaysia teruja menanti pasukan kesayangan Harimau Malaya turun beraksi dalam perlawanan pertama menentang Jordan pada 15 Januari ini.
Pasukan kebangsaan yang dikendalikan oleh Kim Pan-gon terdahulu berjaya menamatkan kemarau lebih 40 tahun untuk layak ke kejohanan paling berprestij secara merit.
Susulan kejayaan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat persiapan cukup rapi dan terbaik termasuk menyediakan penginapan terbaik untuk pemain sepanjang berada di Doha, Qatar.
Bagi Managing Director Holiday Villa & Residence Doha, Puan Sri Mavis Masri Azman juga antara yang teruja apabila pasukan negaranya sendiri turut beraksi dalam saingan Piala Asia.
Biarpun tidak menjadi pilihan sebagai penginapan rasmi pasukan kali ini, beliau berharap agar pasukan kebangsaan B-23 Harimau Muda akan menjadikan hotel milik Malaysia ini menjadi tempat penginapan mereka pada April depan untuk Piala Asia B-23 2024.
“Untuk Piala Asia 2023, Vietnam telah memilih hotel kami sebagai penginapan tapi saya akan berasa sangat gembira jika pasukan Malaysia yang menginap di sini, tapi mereka memilih untuk menginap di hotel lain atas sebab-sebab tertentu.
Pasukan kebangsaan B-23 negara akan datang ke Doha untuk Piala Asia B-23 (kelayakan Olimpik) pada bulan April, jadi saya harap pasukan Malaysia akan mempertimbangkan hotel yang diuruskan oleh Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu skuad Harimau Muda yang dikendalikan oleh E. Elavarasan telah berjaya menempah tiket Piala Asia B-23 selepas muncul sebagai empat pasukan naib juara kumpulan terbaik.
Biarpun berjaya membawa skuad negara ke Piala Asia, Elavarasan telah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya kerana mahu fokus pada tugasnya sebagai penolong ketua jurulatih kepada Kim Pan-gon.
Skuad B-23 kini dipimpin oleh Juan Torres Garrido.