Kami yakin mampu beri cabaran hebat tapi peminat perlu bersikap realistik – Matt Davies
Ketua pasukan kebangsaan, Matthew Davies memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukan yakin dengan kemampuan mereka untuk memberikan cabaran hebat kepada pasukan-pasukan yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi.
Menurut Matt, mereka sudah pun membuktikan kemampuan mereka ketika menentang pasukan yang lebih hebat, tapi beliau pada masa sama turut meminta agar peminat bersikap lebih realistik.
“Saya mengakui kami berasa sedikit tekanan berikutan harapan tinggi daripada peminat. Mereka perlu sedar bahawa kita (Malaysia) berada di kedudukan ke-130 manakala pasukan lawan berada di kedudukan ke-87.
Kita merupakan pasukan ‘underdog’ dalam kumpulan ini berbanding Jordan, Bahrain dan Korea Selatan tapi ia sedikit sebanyak bagus untuk kami kerana tiada tekanan jika hendak dibandingkan dengan tiga pasukan lain.
Kami yakin mampu beri cabaran hebat tetapi peminat juga perlu bersikap realistik,”
katanya.
Skuad Harimau Malaya akan membuka tirai kempen Piala Asia 2023 dalam perlawanan pertama Kumpulan E menentang Jordan esok di Stadium Al Janoub.
Dalam pada itu, Matt juga menyuarakan keyakinannya terhadap sasaran mereka untuk layak ke pusingan 16 yang mana mereka perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua atau sekurang-kurangnya tempat ketiga.
“Sudah lama kita tidak berjaya layak ke Piala Asia iaitu lebih 40 tahun secara merit, jadi kami berasa sangat bangga dapat berada di sini.”
Beliau pada masa sama turut berkata mereka akan turun beraksi dengan corak permainan sebenar mereka dan bukannya akan turun bermain secara bertahan.