Yakini kredibiliti Malaysia mampu seri bersama Jordan dan Bahrain, Raja Isa Raja Akram tahu kedudukan FIFA beri pengaruh besar
“Andai keputusan seri menentang Jordan dan Bahrain, itu sudah cukup membuktikan kita berjaya! Korea Selatan kita letak tepi dulu.”
Itu pandangan jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram mengenai pertemuan skuad Harimau Malaya bersama Jordan tengah malam ini.
Ianya merupakan kemunculan sulung negara setelah lebih empat dekad tidak beraksi di Piala Asia.
“Sekiranya kita tidak layak ke pusingan 16 terbaik, itu tidak bererti kita gagal. Sebaliknya ia bermakna program naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap berkesan hingga mara ke peringkat sebegini.”
Beliau yang sudah melatih banyak kelab bola sepak di Indonesia berpendapat bahawa pasukan dari tanah Arab juga agak ‘segan’ untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama Malaysia, atas faktor ‘kejutan’ sekiranya mereka mampu ditewaskan.
“Negara Arab Saudi dan Qatar tidak mahu menentang kita dan perlawanan bersama Syria tempoh hari juga tidak official, tidak termasuk didalam kalendar FIFA.”
“Saya juga ada terdengar jurulatih Jordan berkata bahawa beliau ingin mengalahkan Malaysia sebanyak 7-0!”
“Mereka membandingkan ranking FIFA kita iaitu di tangga ke-130 dan mereka di tangga ke 87. Mereka ingat kita lemah!”
Sebagai rekod, Bahrain berada di tangga ke-86, manakala Korea Selatan di tangga ke-23.
Raja Isa akui bahawa skuad The Chivalrous Ones sememangnya memiliki empat pemain yang pernah dan juga masih beraksi di liga tempatan, dimana ianya mampu dijadikan suatu cheat code kepada skuad itu.
Empat pemain itu adalah Yazan Al-Arab, Noor Al-Rawabdeh, Mahmoud Al-Mardi dan Fadi Awad.
Beliau turut memuji sokongan padu yang tiada hentinya diberikan para peminat tegar dan juga seluruh warga net.
“Tak boleh kita nak salahkan fans, tanpa mereka stadium tak penuh.”
“Kita kena terima jiwa mereka, kerana mereka bayar tiket, beli jersi, menyanyi dan bersorak, jadi mereka punyai hak untuk bersuara.”
Raja Isa yang meramal keputusan seri bersama Jordan tengah malam ini turut meletakkan sepenuh kepercayaannya kepada jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon selain ingin melihat kehadiran tiga pemain hebat di atas padang iaitu Corbin Ong, Romel Morales dan juga Natxo Insa.
Malaysia bakal bertemu pasukan Jordan pada 1.30 pagi esok di Stadium Al-Janoub, Qatar.