Cari pelapis, tapi tak ada kesimbungan. Apa gunanya? – Roslin Hashim

139

“Dah cari bakat, tapi tak ada kesimbungan untuk pergi lebih jauh lepas terpilih, apa gunanya?”

Begitu kenyataan tegas bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim mengenai lambakan program pencarian bakat badminton yang diburu sejak lebih sedekad lalu.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif sebegitu mampu diwujudkan oleh mana-mana badan induk sekali pun, namun ‘ghaib’ seseorang pemain itu disebabkan kemajuan langkah mendidik mereka adalah amat mengecewakan.


Baginya selepas barisan anak-anak muda itu dicari dari seluruh Malaysia, pentingnya untuk organisasi yang ‘memburu’ untuk menyambung tugas dalam mengasah bakat mereka dalam menjadi seorang atlet hebat selain menghantar mereka ke pelbagai lagi jenis kejohanan.

“Semua mata tertumpu kepada Datuk Lee Chong Wei suatu ketika dahulu, namun sewaktu itu juga, kami menyedari kekurangan pemain lelaki perseorangan di masa akan datang.”,

“Takkan nak tunggu Chong Wei retired baru nak ada pelapis? Sepatutnya kita dah ada pelapis waktu itu.”

Jawabnya didalam sebuah temubual eksklusif bersama Harimau Malaya semalam.

Ianya susulan pasukan badminton negara yang rata-rata terkandas di pusingan awal Petronas Terbuka Malaysia minggu lalu, yang ternyata membuktikan kelebihan ‘tuan rumah’ tetap tidak dapat membantu motivasi atlet tanah air.

Bekas juara nombor satu dunia itu mengakui bahawa sukan badminton negara masih belum menemui hala tuju demi mencapai matlamat yang jitu.

“Saya sendiri pun tertanya-tanya apa lagi yang kurang kepada sukan badminton kita.”

“Semuanya berbalik kepada pemain sendiri untuk bersedia untuk setiap kejohanan.”

Roslin menambah atlet tidak seharusnya menjadikan ‘awal tahun’ sebagai alasan reset mata tahun ini.

“Mereka patut tanya kepada diri sendiri – Kalau player lain boleh, kenapa kita tak boleh?”

Beliau berkata tidak ada gunanya pemain meminta maaf andai tiada tindakan susulan dan memikirkan cara untuk tidak mengulanginya lagi.