ICON Football Academy mungkin lebar sayap ke Malaysia satu hari nanti

134

Sukan bola sepak di negara Qatar ketika ini semakin memperlihatkan peningkatan yang cukup memberangsangkan sejak 10 tahun lalu dan peningkatan itu semakin ketara sejak mereka menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak terbesar dunia iaitu Piala Dunia 2022.

Tidak hanya Piala Dunia, negara itu terus menjadi pilihan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila kejohanan paling berprestij Asia iaitu Piala Asia 2023 turut menjadikan Doha, Qatar sebagai tuan rumah.


Kini akademi bola sepak di negara itu turut pesat membangun dan ICON Football Academy merupakan salah sebuah akademi yang berprestij di sana dengan mempunyai empat akademi di seluruh Qatar.

Pengasas dan juga ketua jurulatih akademi tersebut, Tom McGuigan yang berasal dari Ireland sudah lebih sedekad.

“Saya dihubungi oleh seorang ahli perniagaan tempatan yang mahu mewujudkan sebuah akademi bola sepak memandangkan saya mempunyai kelayakan dan pengalaman dan sejak dari itu akademi itu berkembang dengan maju.

Sehingga kini kita mempunyai lebih 350 pemain daripada empat akademi di Qatar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, kualiti yang ditawarkan oleh akademinya menyaksikan ICON berjaya menjuarai lima saingan liga dari lima kategori umur berbeza.

Dalam pada itu, McGuigan berkata mereka tidak hanya memberi tumpuan kepada bola sepak lelaki sahaja, sebaliknya turut mempunyai pemain wanita.

“Kami juga mempunyai program untuk wanita juga dengan jumlah pemain sebanyak 65 orang dari usia tiga hingga 17 tahun.”

ICON juga mempunyai hubungan kerjasama dengan beberapa kelab profesional di Qatar Stars League yang mana lebih 100 pemainnya berjaya diserap ke kelab-kelab profesional.

Sementara itu, beliau turut memberi bayangan untuk melebarkan sayap ICON Football Academy ke luar negara seperti di Amerika Syarikat dan juga Malaysia satu hari nanti.

“Ketika ini kami dalam perancangan untuk membuka akademi di New York pada tahun ini. Selain itu kami juga dalam perancangan untuk ke UAE dan tidak mustahil kami akan buka di Malaysia pula selepas ini.”