Skuad Gajah Perang bukti wakil dari Asia Tenggara juga unggul, inspirasi baharu buat Harimau Malaya

171

Dua jaringan gol dari Supachai Chaided di perlawanan pembukaan kumpulan F tengah malam tadi telah menobatkan Thailand sebagai wakil pertama dari Asia Tenggara yang berjaya memenangi sebuah perlawanan di Piala Asia 2023.

Hanya dalam tempoh 50 minit, pasukan Gajah Perang telah membenamkan skuad Kyrgyzstan dan membiarkan mereka dengan ‘tangan kosong’.


Ianya sekaligus melonjakkan mereka ke tangga teratas carta kumpulan itu, disusuli pasukan Arab Saudi yang menewaskan Oman 2-1.

Siapa kata pasukan dari Asia Tenggara tidak mampu tawan wakil Asia yang lain?

Barangkali kelebihan beberapa kali layak ke kejohanan antara benua telah ‘membiasakan’ pasukan Thailand dengan selok belok permainan negara-negara Asia hingga berjaya mengekalkan momentum hingga ke wisel penamat.

Ranking FIFA Thailand kini juga telah meletakkan mereka di nombor ke-105 dunia, manakala Kyrgyzstan jatuh tiga anak tangga di 101.

Mungkin pemain serta keseluruhan pasukan Thailand kurang hype berbanding Malaysia, tetapi mungkin itulah ramuan yang membuatkan mereka lebih fokus dalam memberikan yang terbaik.

Namun begitu, ini bermakna Malaysia juga tidak kurang hebatnya!

Meskipun benar Harimau Malaya mungkin sedang dalam proses ‘membangun’ semula hasil didikan jurulatih, Kim Pan-gon sejak beberapa tahun ini, skuad kebangsaan juga telah membuktikan yang terbaik dan boleh menjadikan Thailand sebagai sebuah pasukan inspirasi khususnya dari Asia Tenggara.

Malaysia juga pernah bertemu pasukan Kyrgyzstan di kejohanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 November lalu dan menyaksikan kemenangan comeback hebat 4-3 pada waktu itu.

Ini membuktikan bahawa skuad negara turut mampu membidas dakwaan ‘pengalah’ jika mereka mengaplikasikan strategi dan pilihan pemain yang tepat.

Bukan gaya dan penampilan ‘baharu’ bintang-bintang Harimau Malaya yang semua nantikan, tetapi aksi lincah yang mencuri tumpuan dan memberikan cabaran buat pihak lawan adalah keutamaan kita saat ini.

Malaysia harus bangkit dengan pantas demi mencapai target Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu dengan melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.

Perlawanan bersama Bahrain pada Sabtu ini akan menjadi peluang keemasan buat mereka untuk menebus kembali kekalahan besar 0-4 menentang Jordan tengah malam kelmarin.