Meriahkan skuad dengan anak-anak Malaysia, mungkin aksi Harimau Malaya lebih ‘bermakna’ seperti dahulu?
Masih ingatkah kita pada bintang-bintang skuad Harimau Malaya di era 70an, 80an, 90an serta awal 2000?
Antaranya adalah seperti Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari, Soh Chin Ann, R.Arumugam, Santokh Singh, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Hairuddin Omar, Azlisham Ib Berahim, Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat.
Zaman kegemilangan yang ‘melambakan’ pemain-pemain tempatan yang berbilang kaum di atas padang, beraksi dengan penuh semangat wira demi lencana di dada.
Sedar ataupun tidak, skuad kebangsaan kini kurang menerima masuk pemain tempatan, lebih-lebih lagi yang berbangsa India.
Kemanakah ‘ghaib’nya legasi yang telah banyak membantu kemajuan bola sepak tanah air?
Sebagai contoh, suatu ketika dahulu Malaysia memiliki pemain berbangsa India yang hebat-hebat belaka antaranya V.Saravanan, K. Nanthakumar, N. Thanabalan, Kogileswaran Raj, M. Nagaraja, K. Thanaraj dan ramai lagi yang khabarnya sudah lama tidak didengari kini.
Mengapa pula pemain yang masih steady seperti S.Kunalan, kini hanya berada di bangku simpanan?
Sedangkan mereka semua cukup dikenali dengan stamina yang padu serta larian yang pantas.
Negara kita sudah memiliki barisan pemain bola sepak dari berbilang kaum yang hebat-hebat, mengapa disia-siakan begitu sahaja?
Malaysia juga sudah tersenarai antara pasukan yang menyenaraikan pemain naturalisasi paling ramai, diiringi Hong Kong.
Mungkin juga jika lebih ramai pemain berwarganegara Malaysia yang beraksi di atas padang, pastinya semangat cintakan negara sudah tertanam di dalam jiwa pemain.
Mereka akan lebih bersemangat dan bermain betul-betul demi mengharumkan nama negara.
Contoh memang terbukti ketika zaman kegemilangan sekitar lewat 70an, sepanjang 80an, 90an dan awal 2000.
Skuad kebangsaan dipenuhi dengan anak-anak Malaysia yang lebih bersungguh-sungguh untuk memenangi sebuah perlawanan.
Berbeza sungguh penampilan Harimau Malaya di mata dunia suatu ketika dahulu jika dibandingkan dengan kini.
Mungkin dengan mengembalikan semula pemain tempatan di dalam skuad, pelbagai kemenangan bola sepak dapat kita ‘sambar’?