Kita sebagai pemain perlu terima kritikan dengan hati terbuka – Shahrul Saad
Pemain pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad terbuka dengan kritikan dan kecaman daripada peminat susulan kekalahan besar 4-0 di tangan Jordan pada perlawanan pertama Kumpulan E baru-baru ini.
Menurut Shahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Badak, beliau berkata perkara ini bukan hanya berlaku dalam pasukan negara tetapi juga berlaku pada pasukan lain yang mempamerkan aksi hambar.
“Saya rasa ini perkara biasa. Bukan dekat pasukan Malaysia sahaja, semua pasukan pun di mana-mana negara pun berlaku perkara sama.
Jadi sebagai pemain kita harus terima dengan hati terbuka dan fokus pada apa yang perlu kita lakukan sahaja,”
katanya.
Selepas ini skuad Harimau Malaya akan turun beraksi dalam perlawanan kedua menentang Bahrain pada 20 Januari ini yang mana ia merupakan perlawanan wajib menang bagi menghidupkan semula peluang untuk skuad negara mara ke pusingan 16.
“Sudah tentu kemenangan paling utama bagi saya sendiri sebab kami tahu sudah berapa lama kita berusaha untuk sampai ke tahap ini.
Dan apabila di sini kami tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Kalau diberikan peluang untuk bermain, saya akan berikan yang terbaik untuk negara Malaysia.”
Tambahnya lagi, beliau masih mempunyai keyakinan tinggi terhadap skuad ini untuk lakukan sesuatu pada perlawanan menentang Bahrain nanti.
Skuad kendalian Kim Pan-gon kini berada di tangga tercorot selepas perlawanan pertama dan kini perlu menang apabila menentang Bahrain dan cuba untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata apabila bertemu gergasi Korea Selatan pada 25 Januari ini.