Kim Pan-gon bakal kekalkan strategi ‘aneh’, penyokong perlu terus percaya pada penilaian yang lebih arif?
Nampak gayanya rata-rata Ekor Harimau Malaya sudah melapangkan malam Sabtu mereka minggu ini demi menonton aksi kedua Malaysia di Piala Asia 2023!
Pasti ramai yang sudah bersedia ingin menontonnya di tayangan skrin besar bersama keluarga serta rakan-rakan, memandangkan ianya bermula pada pukul 10.30 malam.
Meskipun masih perit untuk menelan realiti dibolosi empat jaringan gol ketika menentang Jordan tempoh hari, pasti ianya tetap tidak mematahkan semangat para penyokong tegar sukan bola sepak tanah air.
Namun, ura-ura mengatakan bahawa jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bakal mengekalkan formasi ‘kurang menjadi’ yang telah diguna pakai sebelum ini untuk ke perlawanan seterusnya.
Selain itu, dengar khabar bahawa beliau ingin menyenaraikan pemain tengah, Natxo Insa di dalam kesebelasan utama.
Natxo yang baru-baru ini telah menjadi bualan hangat orang ramai atas kekurangan minit permainan di atas padang, menyatakan bahawa beliau tidak membaca sebarang hantaran di media sosial selain tetap menjanjikan aksi yang terbaik didalam kejohanan tersebut.
Adakah tindakan itu bakal memberikan kejutan baru buat skuad negara kali ini?
Atau patutkah rakyat Malaysia bersedia untuk dikecewakan sekali lagi hasil keputusan perlawanan ini?
Formasi 4-3-3 seperti kebiasaan yang disusun beliau perlu dilanjutkan memandangkan itu adalah corak permainan yang telah banyak membantu pemain malah melayakkan skuad ke Piala Asia itu sendiri!
Pemain juga perlu diletakkan di bahagian yang tepat demi memberikan ‘gentar’ dan ancaman buat pihak lawan.
Peluang ke kejohanan itu yang muncul ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ tidak mungkin ingin beliau sia-siakan begitu sahaja.
Walaupun kita memahami sepenuhnya namun sebagai seorang penyokong tegar, semua harus menghormati keputusan beliau yang pastinya lebih arif dalam menilai kredibiliti pemain.
Perlu diingatkan bahawa kedudukan FIFA Malaysia juga telahpun jatuh dua anak tangga iaitu di rank ke-132 dunia selepas kekalahan tengah malam Selasa lalu.
Skuad Harimau Malaya bakal menentang pasukan Bahrain pada pukul 10.30 malam Sabtu, 20 Januari.
Tayangan skrin besar boleh ditonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, Laman MBPJ, Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, Alor Setar, Padang Kota, George Town, Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Paroi dan Dataran Pahlawan, Melaka.
Selain itu, ia juga boleh disaksikan di Kawasan Rekreasi Kg Dato’ Onn, Jalan Cenderawasih, Larkin Jaya, Johor Bahru, Dataran MARA, Kota Bahru, Aras Bawah, Kompleks Paya Bunga Sentral, Kuala Terengganu, Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1, Kuching Amphitheather, Padang Merdeka, Kota Kinabalu dan Dataran Perbadanan, Labuan.