Kami akan berjuang untuk beri kegembiraan kepada peminat esok – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon menyedari tugas sukar buat pasukannya dalam perlawanan kedua kumpulan menentang Bahrain esok bagi menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan 16 Piala Asia 2023.
Menurut Pan-gon, beliau turut menyedari dan menghargai pengorbanan peminat yang sanggup terbang ke Doha, Qatar untuk memberikan sokongan padu buat pasukan kesayangan sekaligus berjanji akan memberikan kegembiraan buat negara.
“Kehadiran peminat sentiasa memberi kami motivasi tambahan dan untuk perlawanan esok kami akan jadikannya seperti festival walaupun kita bermain di Timur Tengah.
Kami akan berjuang habis-habisan pada perlawanan esok untuk memberikan kegembiraan kepada seluruh peminat Malaysia,”
katanya.
Skuad Harimau Malaya kini berdepan tugas sukar apabila wajib menang dalam perlawanan kedua Kumpulan E selepas mereka tewas besar 4-0 dalam perlawanan pertama.
Penendali dari Korea Selatan itu turut berkata kesemua pemainnya sudah bersiap sedia untuk perlawanan esok dan telah pun melupakan kekalahan pada Isnin lalu.
“Memang pemain kecewa dengan kekalahan ini dan saya turut sama kecewa, tapi inilah realiti bola sepak dan pemain tahu cara hendak mengatasi situasi seperit ini.
Pemain negara mempunyai mental yang cukup kuat dan saya percaya mereka akan ‘comeback strong’ sekaligus memperlihatkan kemampuan mereka sebenar mereka esok.”
Dalam pada itu, Pan-gon turut menjelaskan bahawa tiada perubahan akan dilakukan dari segi taktikal dan mereka akan terus bermain dengan corak permainan Malaysia sendiri.
Beliau pada masa sama juga sudah melakukan analisis perlawanan pertama bersama barisan kejurulatihan dan pemain bagi memperbaiki kesilapan serta merangka strategi ampuh untuk aksi esok.
“Kami datang ke sini untuk menang, bukan nak kalah, jadi kami bermain dengan intensiti tinggi dan sentiasa menyerang untuk mendapatkan gol seawal yang mungkin.
Strategi saya juga akan diterapkan pada perlawanan menentang gergasi Korea Selatan biarpun sedar mereka adalah sebuah pasukan berkelas dunia. Kami akan cuba menekan dan tidak beri sebarang ruang kepada pasukan lawan.”