‘Do or die’, kita perlu dapatkan 3 mata menentang Bahrain esok – Shahrul Saad

74

Pemain pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad berkata mereka perlu pastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka esok dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 menentang Bahrain.

Menurut Shahrul, perlawanan esok bagi mereka adalah ‘do or die’ yang mana ia akan menjadi penentu samada skuad Harimau Malaya mampu melangkah ke pusingan 16 atau sebaliknya.


“Perlawanan esok adalah ‘do or die’ buat kita kerana macam mana sekali pun kita perlu dapatkan tiga mata penuh.

Saya dan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan dan tidak akan putus asa untuk mendapatkan kemenangan,”

katanya.

Mengakui kecewa dengan kekalahan pertama kepada Jordan, pemain berusia 30 tahun itu berkata mereka sudah pun melupakan kekalahan itu dan kini berada dalam mood terbaik menjelang perlawanan kedua.

“Kita ada beberapa hari untuk buat persiapan selepas aksi pertama dan ketika ini kem negara berada dalam mood yang cukup baik.

Bukan saya sahaja tetapi seluruh pasukan mempunyai keyakinan tinggi yang kami mampu berikan sesuatu kepada peminat esok. Kami akan bertahan sebagai satu unit dan akan menyerang sebagai satu unit.”

Dalam pada itu, Shahrul juga berkata mereka tiada masalah untuk bermain pada waktu petang esok kerana sudah pun menyesuaikan diri dengan cuaca di Doha selepas sudah berkampung lebih dua minggu.

“Tiada masalah kerana kami sudah biasa berlatih di waktu pagi, tengahari dan malam, jadi bermain di waktu petang tidak akan menjejaskan langsung persembahan kami.”