Bahrain tak pandang remeh dengan kemampuan Malaysia
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Bahrain, Juan Antonio Pizzi berkata mereka tidak akan memandang remeh dengan kemampuan pasukan Malaysia selepas pasukan lawan tewas besar kepada Jordan pada perlawanan pertama baru-baru ni.
“Kami sudah membuat analisis pasukan Malaysia ketika mereka menentang Syria dan juga Jordan, jadi kami sedar perlawanan esok bukan perlawanan mudah.
Tambahan pula kami tidak pernah pandang rendah kepada mana-mana pasukan lawan dan sentiasa akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan positif,”
katanya.
Bahrain juga kini dalam misi wajib menang selepas mereka tewas 3-1 kepada gergasi Korea Selatan dalam perlawanan pertama Kumpulan E Piala Asia 2023.
“Selepas perlawanan menentang Korea Selatan, kami tetap positif dan akan cuba perbaiki kelemahan kami untuk perlawanan seterusnya.
Ia akan menjadi perlawanan yang cukup sukar buat kedua pasukan, jadi kami perlu fokus, kawal permainan dan cuba untuk menang.”
Tambahnya lagi, beliau dan barisan kejurulatihan sudah mempunyai perancangan dan strategi ampuh menjelang perlawanan esok.
Dalam pada itu, tonggak utama pasukan Ali Madan pula berkata beliau dan rakan sepasukan kini sudah bersiap sedia untuk perlawanan esok dengan satu misi utama iaitu mahu memperoleh kemenangan.
“Fokus kami adalah untuk menang. Kami tidak akan fokus untuk jaringkan gol sebanyak yang mungkin, sebaliknya mahu fokus dapat tiga mata walaupun sekadar menang dengans atu gol sahaja.”
Bahrain dan Malaysia adalah dua pasukan yang tidak berjaya mengutip sebarang mata selepas masing-masing kalah pada perlawanan pertama.
Kemenangan esok akan membuka ruang dan peluang kepada pasukan yang menang untuk mara ke pusingan 16.