Saya bertanggungjawab atas kekalahan ini – Kim Pan-gon

146

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon berkata beliau mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan 1-0 skuad Harimau Malaya kepada Bahrain dalam aksi kedua peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 yang berlangsung malam tadi.

“Saya akan ambil tanggungjawab terhadap keputusan ini. Tiada apa-apa yang salah dengan permainan pasukan tadi, ini adalah salah saya.

Saya terlalu beri harapan menggunung kepada peminat, jadi apa yang saya boleh katakan adalah ia adalah salah saya dan bukannya pemain,”

katanya.

Pan-gon turut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak dapat memberikan keputusan positif dan tidak dapat mengungkap momen ini tapi terpaksa menelan hakikat pahit ini.


“Saya rasa pemain dapat mengawal permainan dan kita juga ada mendominasi. Kita hampir seri tapi apa yang kita mahukan adalah kemenangan. Tapi kita perlu terima hakikat di mana kita berbanding pasukan lain.”

Beliau turut memuji pemain-pemainnya yang memperlihatkan kekuatan mentaliti dan kemampuan mereka untuk memberi saingan kepada pasukan yang berada di ranking lebih baik dari Malaysia.

Dalam pada itu, Pan-gon itu tetap positif kerana mereka masih mempunyai baki satu perlawanan menentang gergasi Korea Selatan yang hampir dimalukan Jordan apabila sekadar seri 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan E.

“Kita datang ke kejohanan ini bukan hendak kutip satu mata. Masih ada satu lagi perlawanan dan saya sedar kita akan menentang pasukan gergasi tapi kita akan buat yang terbaik untuk cuba mendapatkan keputusan terbaik. Kita perlu ada attitude untuk cuba mara ke pusingan 16.”

Biarpun Malaysia masih mempunyai baki satu perlawanan pada 25 Januari ini, namun peluang skuad negara untuk mengutip sebarang mata tampak hampir mustahil, tapi dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku.