Natxo Insa mahu ‘move forward’ dan fokus pada perlawanan menentang Korea Selatan

321

Pemain tengah kebangsaan, Natxo Insa mengakui kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Bahrain malam tadi tapi beliau enggan terlalu fikirkan mengenai perkara itu sebaliknya pandang ke depan dan fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Korea Selatan.

“Kami pemain profesional dan tahu perkara seperti ini akan berlaku dan hari ini berlaku dan mungkin akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Pemain bermain untuk negara jadi kita perlu lupakah kekalahan ini dan terus pandang ke hadapan,”

katanya.

Natxo pada masa sama turut berkata bahawa mereka mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya menyempurnakannya.


“Ya pasukan lawan menguasai permainan tapi kita juga mempunyai beberapa peluang tapi kita gagal untuk menjaringkan gol tapi inilah bola sepak, kita kalah di saat-saat akhir.”

Tambahnya lagi, pasukan mempamerkan aksi yang cukup baik pada perlawanan malam tadi berbanding aksi mereka ketika tewas 4-0 kepada Jordan pada perlawanan pertama 15 Januari lalu.

Dalam pada itu, disebalik kekecewaan dek kekalahan dua perlawanan berturut-turut, pemain berusia 38 tahun itu berkata ia merupakan pengalaman yang cukup berharga buat pemain-pemain muda dalam skuad.

“Ia satu pengalaman yang cukup bagus buat kami semua terutamanya kepada pemain muda kerana mereka adalah pelapis dan dengan pengalaman ini akan membuatkan mereka lebih matang pada kejohanan akan datang.”

Skuad Harimau Malaya kini dalam misi mustahil untuk cuba mendapatkan mata dalam perlawanan terakhir Kumpulan E kerana bakal berdepan gergasi Asia, Korea Selatan pada 25 Januari ini.