Syamer Kutty hargai pengorbanan penyokong yang sentiasa berada di belakang Harimau Malaya
Pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba berterima kasih dan menghargai pengorbanan penyokong yang sentiasa berada di belakang skuad Harimau Malaya dalam apa sahaja situasi baik menang atau kalah.
Syamer berkata demikian selepas skuad negara tewas 1-0 kepada Bahrain dalam aksi kedua peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 malam tadi.
“Untuk penyokong saya sangat-sangat menghargai kerana mereka sanggup datang jauh-jauh. Bukan senang kerana mereka perlu keluarkan wang mereka sendiri, tinggalkan keluarga hanya untuk tengok kami bermain.
Dari dasar hati saya, saya nak cakap terima kasih banyak-banyak kepada penyokong sebab selalu ada dengan kami. Jadi saya harap penyokong akan terus memberikan sokongan walaupun jatuh bangun pasukan,”
katanya.
Dalam pada itu, Syamer mengakui beliau dan rakan sepasukan berasa cukup kecewa dengan kekalahan malam tadi kerana mereka telah memberi aksi yang cukup baik sepanjang tempoh perlawanan tetapi terpaksa akur apabila bolos di saat-saat akhir.
“Kami sangat-sangat kecewa kerana bolos di saat-saat akhir tetapi inilah bola sepak, kita berjuang untuk 90 minit tapi dalam tempoh seminit sahaja perlawanan boleh berubah.
Saya sangat bangga dengan rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan kerana kami bekerja keras untuk berikan yang terbaik apabila turun beraksi.”
Sementara itu, Syamer berkata mereka akan gunakan tempoh rehat beberapa hari ini untuk lupakan kekecewaan dan kembali fokus untuk perlawanan seterusnya menentang gergasi Korea Selatan pada 25 Januari ini.