Kim Pan-gon seorang pengendali yang cukup ‘passionate’! Peminat Hong Kong akan sentiasa mengingatinya – Diamond
Nama ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon tidak hanya terkenal di Malaysia dan juga di Korea Selatan sahaja, tetapi peminat bola sepak Hong Kong turut mengenali figura itu termasuk wartawan sukan di negara itu.
Ini kerana Pan-gon pernah mengemudi pasukan kebangsaan Hong Kong selama lima tahun iaitu dari 2012 hingga 2017 yang menyaksikan peningkatan prestasi pasukan itu.
Kwok Hoi Yee atau lebih dikenali sebagai Diamond merupakan salah seorang peminat dan juga wartawan sukan terkemuka di Hong Kong yang mengenali pengendali dari Korea Selatan itu.
Menurut Diamond, Pan-gon seorang jurulatih yang cukup dihormati oleh peminat di negaranya termasuk wujudnya slogan iaitu ‘Die for Hong Kong’.
“Coach Kim merupakan seorang jurulatih yang cukup ‘passionate’ dan sangat dihormati oleh peminat. Terdapat juga slogan yang diperkenalkan iaitu ‘Die for Hong Kong’.
Oleh itu peminat akan sentiasa mengingatinya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Diamond yang kini berada di Doha, Qatar bagi membuat liputan mengenai pasukan kebangsaannya beraksi di Piala Asia 2023.
Walaupun tewas dalam dua perlawanan awal, Diamond berkata Hong Kong masih lagi berpeluang untuk mara ke pusingan 16 sekiranya mereka mampu menewaskan Palestine dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
“Apabila pasukan berjaya layak ke Piala Asia, peminat tidak meletak sebarang harapan kerana menganggap mereka akan guna pentas Asia untuk timba pengalaman tetapi apabila menonton aksi mereka ketika menentang Iran dan UAE peminat kagum dengan prestasi yang dipamerkan mereka.
Kami sangat kagum dengan persembahan mereka. Saya rasa pasukan Hong Kong masih ada peluang kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Kita tahu tugas sukar tapi mereka akan buat yang terbaik.”
Hong Kong yang menghuni tangga tercorot Kumpulan C masih berpeluang mara ke pusingan 16 sekiranya mereka mampu menewaskan Palestine untuk merebut slot empat pasukan ketiga terbaik.