Ketahui ‘selok belok’ permainan Korea Selatan, kekal percaya strategi kejurulatihan Kim Pan-gon

120

Nampaknya kepercayaan terhadap prestasi skuad di perlawanan ‘pelengkap’ Malaysia bersama Korea Selatan Khamis ini hanya akan diletakkan sepenuhnya kepada jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

Ramai juga yang seakan sudah ‘berpaling tadah’ sejak perlawanan permulaan yang bersama Jordan minggu lalu yang menyaksikan kekalahan 0-4.


Mungkin para penyokong tegar bola sepak tanah air kini perlu kekal mempercayai kredibiliti kejurulatihan beliau.

Meskipun dengan kekalahan yang cukup menghampakan dipamerkan Malaysia sepanjang kejohanan Piala Asia kali ini, tetap tidak boleh dinafikan bahawa beliau jugalah yang telah membawa skuad Harimau Malaya hingga ke tahap ini.

Telah banyak kenangan manis bersulam pahit yang dilalui bersama, sanggupkah rakyat Malaysia menidakkan segala khidmat serta jasa beliau dalam mengemudi skuad kebangsaan selama dua tahun ini?

Lihat sahaja pembangunan skuad kebangsaan dalam tempoh tersebut, dimana bintang-bintang bola sepak negara cuba memajukan pasukan demi setanding dengan negara serantau.

Beliau yang pernah menjadi jurulatih buat pasukan Hong Kong pastinya memiliki pengalaman yang lebih luas dalam mengendali sesebuah pasukan melihatkan rekod baik mereka sepanjang dibawah jagaan beliau.

Selain itu juga, beliau sempat menjadi salah seorang ‘orang kuat’ di Korea Football Association (KFA) dimana beliau turut terlibat didalam pencarian jurulatih buat pasukan Korea selain memahami gaya permainan sebahagian pemain.

Tentu sahaja beliau tidak mahu mempamerkan rekod yang kurang memberangsangkan dihadapan pasukan negara beliau sendiri.

Sebenarnya ia bagaikan suatu ‘cheat code’ buat Harimau Malaya, melihatkan teknik ‘misteri’ beliau yang disoal ramai.

Tidak dinafikan beliau tentu mempunyai ‘ramuan rahsia’ didalam setiap strategi beliau, meskipun ada yang kurang menjadi sejak kebelakangan ini.

Ada baiknya jika para penyokong untuk terus mempercayai kebolehan teknik kejurulatihan beliau dari terus menerus meraguinya.