Kami akan datang lagi ke Piala Asia untuk cuba cabar kejuaraan – Kim Pan-gon

315

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon cukup gembira apabila pasukannya berjaya mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia 2023 petang tadi.

“Bagi kami ia adalah satu keputusan yang cukup menakjubkan. Tahniah kepada semua pemain dan saya sangat hargai sokongan daripada semua pihak terhadap kami.

Kesemua pemain telah memberikan aksi terbaik mereka dan walaupun kami tidak berjaya mara ke pusingan 16, namun saya beritahu kepada pemain bahawa hari ini adalah momen yang cukup indah,”

katanya.

Menurut Pan-gon, aksi menentang Korea Selatan adalah perlawanan yang cukup sukar kerana pemainnya perlu berdepan dengan pemain terkemuka dunia seperti Son Heung-min yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, manakala Kim Min-jae pula merupakan pemain pertahan terbaik di Bundesliga.


“Pasukan Korea Selatan sangat berkualiti dan kami sangat bergelut sepanjang perlawanan kerana mereka mendominasi perlawanan.

Namun ia bagus untuk kesemua pemain untuk merasai pengalaman bermain bola sepak bertaraf dunia.”

Dalam pada itu, biarpun mereka sudah tersingkir dari kempen Piala Asia dek dua kekalahan sebelum ini, Pan-gon berkata mereka akan terus mempamerkan aksi cemerlang untuk layak sekali lagi ke kejohanan paling berprestij di Asia itu untuk edisi 2027.

“Untuk kejohanan kali ini, banyak pengajaran yang kami timba. Kami sentiasa setia bersama kerana hubungan kami seperti keluarga.

Kami perlu kembali ke Piala Asia untuk cuba mencabar kejuaraan pula selepas ini.”

Bagi memastikan skuad Harimau Malaya mampu menjadi pencabar utama kejuaraan, Pan-gon berkata mereka perlukan masa dan sokongan daripada semua pihak agar dapat membina asas yang kukuh sebelum menjadi sebuah pasukan kuat.

Sementara itu, selepas ini skuad negara akan turun beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pula menentang Oman pada bulan Mac depan.

Sasaran mereka adalah untuk cuba melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 sekaligus mengesahkan tempat mereka ke Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.