Marselino Ferdinan kagum dengan bakat Arif Aiman yang disifatkan luar biasa!

372

Pemain ‘Wonderkid’ Indonesia, Marselino Ferdinan kagum dengan bakat pemain sensasi Malaysia, Arif Aiman yang disifatkan mempunyai bakat yang luar biasa.

“Untuk Arif Aiman beliau adalah bakat yang cukup luar biasa di peringkat Asia Tenggara bagi saya.

Dengan usianya masih muda saya harap beliau akan terus maju dan matang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Marselino pada masa sama turut kagum dengan aksi cemerlang yang dipamerkan oleh skuad Harimau Malaya ketika menentang Korea Selatan baru-baru ini yang berkesudahan dengan keputusan seri 3-3.


“Saya menonton perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan dan apa yang saya boleh katakan adalah saya terkejut melihat aksi mereka yang berjuang habis-habisan. Saya harap teman-teman di Malaysia tetap terus bersemangat dan terus maju ke hadapan.”

Dalam pada itu, beliau tetap gembira dengan persembahan pasukannya biarpun mereka tewas 4-0 kepada Australia dalam perlawanan pusingan 16 Piala Asia 2023 petang tadi.

“Kita bermain dengan baik sekali sepanjang perlawanan kecuali ketika melepaskan gol sendiri. Apa pun kita akan jadikan perlawanan menentang pasukan hebat seperti Australia ini sebagai pengajaran untuk terus maju ke depan.”

Beliau pada masa sama turut mempertahankan pendekatan yang digunakan oleh ketua jurulatih Shin Tae-yong yang menerapkan taktikal menyerang dan bermain di garisan tinggi.

Tambahnya, bermain dengan tekanan tinggi akan memberi mereka ruang dan peluang untuk cuba menjaringkan gol.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai prestasinya sepanjang kempen Piala Asia kali ini, Marselino masih belum berpuas hati dan berkata masih banyak yang boleh diperbaiki.