Isu vandalisme di MPL MY, Moonton tekad untuk jadikan venue kejohanan selamat

118

Jika sebelum ini isu-isu vandalisme atau hooligan sering berkait rapat dengan sukan bola sepak, namun ia kini sudah merebak ke dunia e-sukan pula atau lebih tepat lagi Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY).

Baru-baru ini ketika saingan MPL MY musim ke-13 berlaku, insiden vandalisme telah berlaku dan ia telah mendapat perhatian ramai peminat yang menyuarakan kebimbangan mengenai isu ini.


Menurut Ketua Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Moonton Games iaitu Fikri Rizal Mahruddin, beliau berkata pihaknya sudah ambil maklum mengenai isu tersebut dan akan terus mendidik supaya tidak berulang.

“Apa yang akan kita buat untuk masa akan datang adalah kita akan tekankan lebih untuk maklum kepada semua peminat MPL MY adalah tempat yang selamat.

Anda boleh raikan macam mana sekali pun, kami akan buat yang terbaik untuk kawal ketika di venue.

Berhubung isu vandalisme yang berlaku baru-baru ini, ia adalah satu insiden malang tapi kita harap kita akan perbaiki dan terus mendidik supaya perkara ini tidak jadi lagi,”

katanya.

Dalam pada itu, Fikri berkata pihaknya tidak sahaja akan mendidik tetapi juga akan memperbaiki kawalan keselamatan berdasarkan perlawanan-perlawanan tertentu.

“Bagi saya untuk tambah kawalan keselamatan bagi mengawal penonton saya rasa ia adalah benda yang baik kerana kita nak orang sendiri rasa selamat.

Kita ini komuniti yang kecil sahaja jika hendak dibandingkan dengan sukan-sukan lain, jadi kita kena jaga sesama kita sendiri. Kita kena tunjuk teladan yang baik kepada mereka yang baru datang ke industri kita.”