Jika permintaan terlalu tinggi, kita mungkin terpaksa jual tiket – Fikri Rizal
Saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-13 terus mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dan minggu lalu sambutan yang diterima cukup luas biasa sehingga ramai yang tak dapat masuk ke venue.
Situasi ini sedikit sebanyak membuatkan Ketua Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Moonton Games, Fikri Rizal Mahruddin kecewa kerana peminat yang datang dari jauh tidak dapat merasai sendiri kehangatan MPL MY.
Ketika ini, pihak mereka tidak mengenakan sebarang caj untuk menyaksikan MPL MY tetapi tidak menolak kemungkinan akan mula mengenakan caj nanti bagi memastikan situasi peminat tidak dapat masuk ke venue berlaku.
“Objektif kita mengapa kita buat masuk percuma adalah untuk beri ramai orang pengalaman MPL MY. Ya buat masa sekarang ini kita ada kekurangan sebab venue itu kapasitinya tidak besar mana tapi itu sahaja yang ada pada waktu yang kita mahu.
Kita kalau boleh tidak mahu kenakan caj pada penonton untuk dapat MPL MY dan tidak mahu hadkan penonton tapi buat masa ini kita ada kapasiti besar itu sahaja. Kami juga kecewa apabila ada yang datang dari jauh terpaksa pulang kerana tidak dapat masuk.
Mungkin pihak kami terpaksa menjual tiket, tapi buat masa ini belum ada pelan lagi. Jika permintaan terlalu tinggi kita terpaksa jual tiket dan hadkan kapasiti.”
katanya.
Dalam pada itu, Fikri berkata antara inisiatif yang sedang dilihat oleh pihaknya kini adalah untuk mengadakan ‘watch party’ seperti yang mereka lakukan sebelum ini untuk perlawanan play-off.
Jelasnya lagi, banyak faktor perlu mereka ambil kira seperti lokasi, kapasiti dan masa sebelum inisiatif itu dapat dibuat.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan terus berusaha untuk cuba memuaskan hati semua orang.