Sebagai Presiden FAM, saya terbuka terima apa sahaja kritikan – Hamidin Mohd Amin

115

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau sentiasa bersikap terbuka menerima sebarang kritikan terutamanya baru-baru ini apabila terpalit dengan kontroversi surat layang dan juga prestasi pasukan kebangsaan B-23 di Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar.

“Saya seorang yang terbuka, saya terima apa sahaja kritikan daripada netizen yang mana yang baik saya ambil.

Banyak lagi saya ingat blogger-blogger atau pun pengkritik yang kritik tentang prestasi skuad B-23 dan juga mengenai surat layang.

Kita kena terima apabila kita memegang jawatan ini. Yang penting kita tak buat salah dan yang penting kita buat demi bola sepak untuk negara.

Sampai masanya kalau ada pemilihan kita akan sama-sama berada dalam pemilihan itu mengikut peraturan statut FAM,”

katanya.

Hamidin berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas  Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin (KJ) yang berkata FAM perlu melakukan peralihan kuasa selepas prestasi hambar skuad negara.


Dalam pada itu, berhubung prestasi skuad kendalian Juan Torres Garrido, Hamidin berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh daripada Pengarah Teknikal dan kemudian akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin.

“Jurulatih sudah berjumpa dengan saya dan apa yang saya boleh beritahu kita kini sedang menunggu laporan penuh daripada Pengarah Teknikal, Scott O’Donell yang berada sepanjang kejohanan di Qatar dan juga dengan jurulatih Juan Torres.

Saya ingat dalam minggu ini siap. Selepas itu saya akan melihat perkara tersebut dan akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk melihat dan mendengar dahulu mengenai prestasi pasukan secara keseluruhan.”