Saya tak boleh janji ‘bulan dan bintang’ tapi kita akan buat yang terbaik kerana peluang masih ada – Faisal Halim
Pemain sensasi pasukan kebangsaan, Faisal Halim berharap dengan kembalinya saingan Liga Super pada 10 Mei ini akan membantu pemain-pemain untuk meningkatkan prestasi mereka sebelum menyarung jersi Harimau Malaya untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 awal Jun ini.
Menurut Faisal, beliau berkata peluang Malaysia masih lagi terbuka tapi beliau enggan beri janji ‘bulan dan bintang’, sebaliknya berkata mereka akan buat yang terbaik.
“Saya harap apabila liga bermula dapat membantu sedikit sebanyak kepada pemain-pemain semua. Saya tidak boleh janji ‘bulan dan bintang’ tapi saya rasa kita kena buat yang terbaik dan lebih baik lagi.
Peluang itu masih ada dan terbuka cuma jalan itu sahaja yang sukar untuk pasukan. Kita yang pilih jalan ini jadi kita kena jalan dan buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan dan juga untuk semua rakyat Malaysia,”
katanya.
Skuad kendalian Kim Pan-gon kini berdepan tugas sukar dalam misi untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila tewas dua perlawanan menentang Oman baru-baru ini.
Susulan itu, baki dua aksi menentang Kyrgyzstan di tempat lawan dan menentang Taiwan di tempat sendiri mereka perlu pastikan kemenangan menjadi milik mereka untuk layak ke pusingan ketiga dan juga layak ke Piala Asia 2027 secara merit buat kali kedua berturut-turut.
Dalam pada itu, Faisal yang juga merupakan tonggak utama Selangor FC mengakui pasukan Malaysia masih berada pada tahap yang belum cukup bagus untuk bersaing di peringkat lebih tinggi ketika ini.
“Level Malaysia sukar untuk bertanding di peringkat lebih jauh tapi saya percaya dengan kualiti yang kita ada, pemain-pemain yang kita ada, kita gabungkan kesemua pemain dari setiap negeri untuk menjadi satu jiwa untuk berjuang.”
Beliau pada masa sama turut menegaskan mana-mana pemain yang menyarung jersi pasukan kebangsaan mempunyai satu misi yang sama iaitu untuk bawa pasukan negara menjadi yang terbaik di peringkat antarabangsa.