Fazrul Amir mahu pamer ketajamannya di hadapan gol untuk pikat Kim Pan-gon
Pemain penyerang baharu Kelantan Darul Naim FC (KDN), Fazrul Amir memberitahu bahawa sasarannya untuk saingan Liga Super musim 2024/25 adalah untuk memperlihatkan ketajamannya untuk menjaringkan gol.
Menurut Fazrul, beliau perlu bekerja keras untuk menjadi ‘mesin gol’ pasukan dengan harapan mendapat perhatian ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon.
“Sasaran saya musim ini adalah mahu perbaiki penyudah saya dihadapan gol dan cuba menjaringkan gol supaya dapat panggilan pasukan kebangsaan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Fazrul berkata bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, beliau akan terus bekerja keras sepanjang musim ini untuk tingkatkan kualiti permainannya.
“Saya perlu banyakkan latihan, berdisiplin dan dengar apa yang ketua jurulatih cakap.”
Dalam pada itu, Fazrul yang kini sedang menjalani latihan pra musim KDN berkata semuanya berjalan dengan lancar dengan kesemua pemain-pemain berasa teruja dan tak sabar untuk memulakan kempen Liga Super.
Untuk saingan musim ini, KDN mengambil pendekatan untuk tidak membariskan pemain-pemain bintang yang dilihat mampu memberi ruang dan peluang kepada semua pemain memperlihatkan kemampuan masing-masing.
“Semua pemain berpeluang untuk tunjukkan kebolehan masing-masing tapi kami perlu bekerja dengan lebih keras lagi untuk bertemu dengan pasukan-pasukan besar nanti.”
Jelasnya lagi, mereka yang kini berada dalam fasa terakhir pra musim perlu segera tingkatkan keserasian antara pemain sebelum saingan liga membuka tirai pada 10 Mei ini.