Fokus Safawi Rasid musim ini adalah mahu dapatkan minit permainan bersama TFC
Pemain sensasi Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid mempunyai misi tersendiri untuk saingan Liga Super musim 2024/25 yang mana fokus beliau adalah untuk mendapatkan minit permainan sebanyak yang mungkin.
“Macam saya cakap saya sekarang ini nak cari minit permainan dan bagi saya tiada masalah. Cuma tunggu masa sahaja benda itu akan sampai jadi tak ‘rushing’.
Jadi saya akan buat yang terbaik untuk pasukan dan diri saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain daripada mahu dapatkan minit permainan, pemain kebangsaan Harimau Malaya ini juga mahu kembali ke prestasi sebenarnya.
Dalam pada itu, kepulangannya ke TFC selepas tujuh tahun berkelana di Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata menggembirakan peminat Sang Penyu dan mereka turut teruja apabila rakan sepasukan Safawi iaitu Akhyar Rashid turut sama menyarung jersi pasukan itu musim ini.
Kehadiran kedua-dua pemain ini dilihat bukan sahaja mampu membantu pasukan tetapi juga beri dimensi baru.
“Setelah tujuh tahun saya berkelana, jadi saya rasa ini adalah peluang yang baik untuk bermain di negeri kelahiran bagi saya lagi semangat sebab ‘home ground’ jadi saya sangat teruja untuk perlawanan pertama nanti.”
Safawi juga berkata persiapan pasukan dibawah kendalian Tomislav Steinbruckner berjalan dengan lancar dan kesemua pemain-pemain kini sudah bersiap sedia untuk berikan yang terbaik jika diberi peluang.