Mat Yo mampu beri impak kepada Melaka United atau sekadar pelengkap pasukan?

398

Selepas enggan bermain untuk Kelantan FC dan ditolak oleh Kedah Darul Aman FC, Norshahrul Idlan Talaha akhirnya menandatangani kontrak bersama Melaka United FC untuk musim 2022.

Sebelum ini ramai peminat yang tertanya-tanya ke manakah destinasi Norsharul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo selepas kontraknya bersama Sarawak United FC tamat hujung musim lalu.


Walaupun sudah berada di penghujung karier, namun pemain berusia 35 tahun itu masih lagi mahu terus beraksi dan akhirnya telah menarik minat Melaka.

Sumber foto: MU Facebook

Tidak dapat dinafikan walaupun pasukan Melaka berdepan dengan kontroversi masalah tunggakan gaji, namun mereka telah pun berjaya langsaikan dan mempunyai bajet yang besar untuk musim 2022.

Jadi tidak hairanlah mereka mampu menandatangani Mat Yo untuk memperkuatkan pasukan terutamanya di bahagian serangan.

Bagaimanapun timbul persoalan samada ada kemasukan Mat Yo benar-benar mampu beri impak kepada Melaka atau sekadar menjadi pelengkap pasukan.

Sumber foto: MU Facebook

Ini kerana sejak meninggalkan Pahang (kini Sri Pahang FC) pada tahun 2020 untuk menyertai gergasi Liga Thailand, BG Pathum United, beliau bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama apabila hanya membuat enam penampilan sahaja.

Selepas kontraknya dengan BG Pathum tamat, Mat Yo berhijrah ke Sarawak pula dengan harapan mendapat minit permainan, bagaimanapun beliau masih gagal mendapat tempat dan hanya membuat empat penampilan sahaja dengan menjaringkan satu gol.

Mat Yo kini perlu bersaing dengan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu iaitu Ifedayo Olusegun dan beberapa penyerang muda lain dan ini akan memberi kesukaran buatnya.

Sumber foto: MU Facebook

Walaupun beliau masih berbisa sekiranya berada di dalam kotak penalti, namun kebarangkalian beliau akan dimasukkan dalam kesebelasan utama agak tipis dengan barisan serangan Melaka ketika ini tampak ampuh terutamanya selepas kemasukan Ifedayo.

Jadi berbalik kepada persoalan utama iaitu adakah Mat Yo mampu beri impak sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini atau hanya pelengkap pasukan sahaja.

Untuk rekod, penyerang kebangsaan ini boleh dikatakan antara penyerang prolifik apabila telah menjaringkan 197 gol dalam 346 penampilannya sejak dari tahun 2003 hingga sekarang.

Malah beliau juga merupakan antara pemain paling lama menyarung jersi Harimau Malaya dengan 80 penampilan dengan 14 jaringan.