Pemain senior perlu sedar tanggungjawab mereka terhadap pemain pelapis – Tan Sri Norza Zakaria
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria berkata pemain senior perlu sedar tanggungjawab mereka terhadap pemain-pemain junior bagi memastikan pembangunan badminton negara dapat berjalan dengan lancar.
“Pemain senior perlu sedar bahawa mereka ada tanggungjawab terhadap pemain junior. Ini kerana apabila mereka meraih kejayaan menarik penaja untuk menaja, duit tajaan itu dapat digunakan untuk pembangunan pemain junior di BAM.
Selain itu BAM juga memperuntukkan dana kepada setiap negeri untuk pembangunan badminton remaja. Mereka perlu sedar apa yang dulu mereka rasai sejak berusia dari 13 hingga 18 tahun, mereka perlu jaga dan kekalkan supaya BAM dapat terus lahirkan pelapis-pelapis baru,”
ujarnya ketika dalam satu program bual bicara temubual Bersama Johan Jaafar di Sinar Harian.
Berdasarkan kenyataan Norza Zakaria, ia seperti meminta supaya pemain-pemain senior yang sudah berjaya mencipta nama tidak pentingkan diri sendiri, sebaliknya membalas jasa BAM dengan memastikan badan induk badminton negara itu mempunyai dana yang cukup untuk teruskan pembangunan badminton remaja.
Dibawah naungan BAM kini mempunyai seramai 70 pemain remaja yang mana kesemua mereka ini ditempatkan di Akademi Badminton Malaysia.
Kesemua pemain-pemain remaja ini tidak perlu memikirkan apa-apa memandangkan BAM telah menyediakan kesemua kemudahan seperti tempat tinggal, persekolahan, makan minum, tempat latihan serta kebajikan lain.
Apa yang mereka perlu lakukan adalah hanya berlatih bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang pemain badminton hebat untuk negara.
Pemain senior hebat seperti Lee Zii Jia, Goh Jin Wei dan beberapa lagi juga merupakan penerima manfaat daripada pemain senior terdahulu, jadi kini tiba masa mereka pula untuk membalas jasa dengan membantu pemain junior.
Terdahulu dunia badminton negara kecoh apabila pemain perseorangan nombor satu negara Zii Jia mengambil keputusan untuk meletak jawatan dari BAM kerana mahu bergerak secara profesional.
Susulan itu BAM telah membuat keputusan untuk tidak akan mendaftarkan Zii Jia dan Jin Wei dalam sebarang pertandingan antarabangsa selama dua tahun telah mencetuskan kemarahan ramai yang menyelar tindakan persatuan itu sebagai kejam dan mahu membunuh karier pemain itu.
Bagaimanapun selepas Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Perdana Menteri masuk campur, kemelut itu akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik dengan BAM akan menyenaraikan Zii Jia untuk kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang akan berlangsung pada bulan ini.
Disebalik kegembiraan ramai apabila ‘hukuman’ Zii Jia dan Jin Wei dibatalkan selepas rayuan, namun kini ada pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap pemain-pemain pelapis yang akan mengikut jejak langkah yang sama iaitu keluar dari BAM selepas berjaya cipta nama di persada antarabangsa.
Jika sebelum ini Zii Jia mengambil keputusan untuk keluar dari BAM kerana dikatakan tidak tahan dengan latihan ‘teruk’ dan tekanan dari BAM, kini beliau bakal berdepan tekanan lebih besar apabila bergerak secara profesional.
Ini kerana penaja sudah melabur banyak, jadi mereka pasti akan menuntut ‘keuntungan’ dari pelaburan mereka iaitu Zii Jia perlu menang dalam setiap kejohanan yang disertainya.
p/s: Untuk jadi seorang pemain atlet luar biasa, latihannya juga perlu luar biasa dan perlu serap segala tekanan. Jika atlet itu sendiri tidak sanggup jalani latihan teruk atau tak tahan dengan tekanan, maka tidak hairanlah jika atlet itu akan berada di tahap yang sama sahaja.