Syafiq Ahmad mahu kekal konsisten musim ini supaya berpeluang kembali sarung jersi Harimau Malaya
Penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC (KDA), Syafiq Ahmad gembira apabila berjaya membantu pasukannya memperoleh kemenangan pertama menerusi jaringan tunggalnya dalam aksi Liga Super 2024/25 menentang PDRM FC.
Menurut Syafiq, bukan enggan mengambil kredit untuk dirinya sendiri atas jaringan tersebut sebaliknya turut berterima kasih kepada kesemua rakan sepasukan yang membantu dan berusaha untuk dapatkan jaringan awal.
“Alhamdulillah dengan rezeki yang diberikan. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan membantu untuk kita dapatkan jaringan awal. Ini merupakan permulaan yang cukup baik bukan sahaja kepada diri saya tapi juga rakan sepasukan dan juga pasukan.
Dengan kemenangan ini kita harap dapat teruskan momentum ini untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,”
katanya.
Syafiq juga bertekad mahu memberikan aksi terbaik dan terus kekal konsisten sepanjang musim ini kerana mahu kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
“Ya betul, mungkin orang boleh kata ini adalah satu kebangkitan untuk saya menonjol lagi tahun ini dengan gol tersebut semoga saya dapat beraksi dengan baik setiap perlawanan dan juga dapat beraksi untuk pasukan Harimau Malaya.”
Terdahulu pada aksi pertama liga di Majlis Perbandaran Selayang menentang PDRM, Syafiq telah mencatatkan nama sebagai penjaring terpantas musim ini apabila menjaringkan gol ketika perlawanan belum pun memasuki minit pertama.
Beliau turut mengakui latihan dan perlawanan pra musim yang mencukupi membuatkan setiap pemain memperlihatkan keserasian yang cukup baik.
Dalam pada itu, menjelang aksi kedua liga menentang gergasi Selangor FC, Syafiq berkata mereka tidak terlalu memikirkan mengenai pasukan lawan sebaliknya fokus pada pasukan sendiri dan perbaiki kelemahan.
“Bukan kita tidak risau dengan pasukan Selangor kerana kita tahu mereka adalah pasukan nombor dua Liga Super musim lepas tapi bagi saya apa yang penting dengan pasukan Kedah kita harap dapat kekalkan momentum yang baik.
Jadi setiap perlawanan kita bermain dengan sesiapa pun, yang paling penting adalah kita kena perbaiki apa yang ada pada pasukan Kedah.
Dengan itu kita tidak perlu memikirkan tentang pasukan lawan, tapi hanya perbaiki pasukan sendiri. Itu yang saya selalu ingatkan kepada rakan-rakan.”